
A’FAMOSA SAFARI WONDERLAND-ZPOT KONGSI KEPAKARAN DEMI KELESTARIAN HIDUPAN LIAR
ALOR GAJAH 31 Julai – A’Famosa Safari Wonderland dan Zoological Park Organization of Thailand (ZPOT) memeterai memorandum persefahaman (MoU) sebagai usaha memperkukuh kerjasama strategik dalam bidang pemuliharaan hidupan liar, kebajikan haiwan, pendidikan konservasi serta perkongsian pengetahuan profesional.
Kerjasama strategik itu memberi fokus kepada haiwan kapibara (Hydrochoerus hydrochaeris) menerusi perkongsian pengetahuan, maklumat teknikal serta amalan terbaik berkaitan penjagaan haiwan, perkhidmatan veterinar, penggayaan tingkah laku, pengurusan kebajikan haiwan dan pendidikan konservasi.
Ketua Pengarah ZPOT, Chongkolnee Kaewsod berkata, pemilihan kapibara sebagai fokus kerjasama strategik itu bukan dibuat secara kebetulan, sebaliknya mempunyai nilai tersendiri dalam usaha meningkatkan kefahaman terhadap spesies berkenaan di samping memperkukuh kesedaran masyarakat mengenai kepentingan pemuliharaan hidupan liar menerusi pelbagai program pendidikan.
“Meskipun kapibara bukan spesies yang jarang ditemui atau menjadi simbol spesies terancam, sifatnya yang comel dan mesra mampu menarik perhatian orang ramai.
“Melalui kapibara, masyarakat dapat mengenali dan menghargai spesies lain yang turut berkongsi bumi dengan kita. Secara tidak langsung, ia membantu meningkatkan kesedaran serta menggalakkan lebih ramai orang menyokong usaha pemuliharaan hidupan liar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di antara A’Famosa Safari Wonderland dan ZPOT di sebuah hotel, di sini, pada Khamis.

Terdahulu, MoU itu dimeterai Chongkolnee mewakili ZPOT, manakala A’Famosa Safari Wonderland diwakili Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Alex Lau.
Mengulas lanjut, Chongkolnee berkata, hidupan liar merupakan khazanah semula jadi yang perlu dipelihara bersama dan bukannya dimiliki oleh mana-mana individu.
Jelasnya, setiap orang mempunyai tanggungjawab untuk melindungi serta memastikan kelangsungan hidup hidupan liar agar terus terpelihara demi manfaat generasi akan datang.
“Jika kita mahu terus berkongsi nilai dan manfaat yang ditawarkan oleh alam semula jadi, kita perlu memelihara serta menghormati hidupan liar.
“Sebab itulah kami menjalinkan kerjasama dengan A’Famosa dalam usaha memulihara hidupan liar dan memastikan khazanah semula jadi ini terus lestari untuk dinikmati semua,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


