
IMPIAN ANAK B40 BERGELAR JURUTERBANG BUKAN LAGI ‘ANGAN-ANGAN’
KESIDANG 31 Julai – Impian anak muda kelahiran Telok Mas untuk bergelar juruterbang bakal tercapai apabila terpilih sebagai antara 20 penerima tajaan penuh latihan kadet juruterbang.
Muhammad Afiq Danish Anis, 19, berkata, peluang mengikuti pengajian secara biasiswa yang ditaja oleh International Aero Training Academy (IATAC) sesuatu yang tidak disangka kerana menjadi juruterbang adalah antara cita-citanya.
“Sudah tentu saya tidak akan mensia-siakan peluang ini kerana menjadi juruterbang merupakan antara cita-cita utama saya.
“Perasaan saya amat teruja kerana dapat belajar dengan tajaan penuh yang menelan kos amat tinggi dan sudah tentu peluang ini tidak akan disia-siakan,” katanya.
Anak sulung daripada lima beradik itu berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Orientasi Program Tajaan Kadet Juruterbang Anak Melaka B40 yang disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di IATAC Batu Berendam, di sini, pada Khamis.
Hadir sama, Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Datuk Saiful Hazwa Kipli;
Timbalan Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Zahari Abd Kalil dan Ketua Pegawai Eksekutif IATAC, Kapten Kenneth Yap Kean Foo.
Menurut Muhammad Afiq Danish, permohonan tajaan itu dibuatnya selepas dikongsikan oleh seorang guru yang memintanya untuk mencuba nasib.
“Pada awalnya saya agak kurang yakin dengan kemampuan diri tetapi keluarga dan guru sentiasa memberi sokongan dan percaya saya mampu lakukan.
“Memang tidak sangka akan terpilih bermula daripada pemilihan, sesi temu duga sehinggalah berjaya ke peringkat akhir. Pastinya untuk saya dan keluarga mengeluarkan belanja mengikuti latihan kadet ini kami tidak mampu,” katanya.
Jelasnya, kejayaan tersebut turut menjadi pemangkin semangat untuk membalas jasa ibu bapanya yang banyak bekorban selain amat berterima kasih kepada Ketua Menteri, Kerajaan Negeri dan IATAC kerana menyediakan platform untuk mereka yang kurang berkemampuan untuk berjaya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

