
WRUR PAYA RUMPUT: MBMB SAYANG RAKYAT, BANTU 6 KELUARGA BINA KEHIDUPAN BAHARU
PAYA RUMPUT 31 Julai – Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) memperuntukkan RM15,000 bagi menjayakan Program MBMB Sayang Rakyat dan Bandaraya Penyayang seterusnya menyantuni enam keluarga memerlukan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput menerusi bantuan yang disesuaikan mengikut keperluan setiap penerima.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paya Rumput, Datuk Rais Yasin berkata, pendekatan itu membuktikan pentadbiran MBMB tidak sekadar menyalurkan bantuan, sebaliknya turun padang menilai sendiri keadaan hidup rakyat bagi memastikan sumbangan yang diberikan benar-benar memberi manfaat.
Beliau yang juga Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri berkata, program yang diadakan sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) DUN Paya Rumput itu memberi fokus kepada kebajikan penduduk melalui penyelesaian yang bersesuaian dengan keperluan mereka.
“MBMB akan menilai dan mendengar sendiri keadaan sebenar masyarakat serta mengenal pasti barangan yang benar-benar diperlukan. Sebagai contoh, seorang ibu tunggal yang tinggal bersama dua anak memohon sebuah ketuhar dan peralatan membuat kuih bagi membolehkannya menjana pendapatan.
“Kita memudahkan urusannya dengan menyumbangkan apa yang diperlukan kerana matlamat kita bukan sekadar memberi bantuan, tetapi membantu mereka meningkatkan taraf kehidupan dan mencari rezeki,” katanya kepada pemberita selepas Program MBMB Sayang Rakyat dan Bandaraya Penyayang sempena WRUR DUN Paya Rumput, di Kampung Tanah Merah Jaya, Krubong di sini, hari ini.
Hadir sama, Datuk Bandar MBMB Datuk Shadan Othman serta kenamaan lain.
Mengulas lanjut, Rais berkata, setiap penerima menerima barangan keperluan bernilai RM2,000 serta bantuan tunai RM500 menjadikan keseluruhan bantuan bernilai RM2,500 bagi setiap keluarga.
Katanya, maklum balas yang diterima daripada semua penerima amat positif apabila mereka menzahirkan rasa syukur dan terharu kerana bantuan yang disalurkan memenuhi keperluan sebenar serta dapat dimanfaatkan untuk kehidupan seharian.
“Program ini memberi peluang kepada saya dan MBMB melihat sendiri keadaan sebenar masyarakat selain mendengar terus pelbagai isu yang dihadapi penduduk.
“Pendekatan seperti ini membolehkan tindakan yang lebih berkesan diambil bagi membantu mereka yang benar-benar memerlukan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

