TERENDAK BERSELAWAT SATUKAN 3,000 JIWA, HATI

Masa Membaca:1 Minit, 46 Saat

SUNGAI UDANG 31 Julai – Alunan qasidah dan selawat bergema mengisi ruang Pavilion Kem Terendak apabila dianggarkan 3,000 umat Islam membanjiri lokasi itu bersempena Malam Cinta Rasul Terendak Berselawat, malam tadi.

Malam penuh makna itu bukan sahaja menyuburkan syiar Islam dan menzahirkan rasa cinta kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, bahkan turut menjadi medan menyatukan anggota tentera, agensi keselamatan serta masyarakat.

Program kerohanian itu merupakan sebahagian daripada pengisian yang diadakan bersempena Kejohanan Sukan 2 Jiwa 1 Hati dan Sukan Antara Badan Beruniform Piala Ketua Menteri Melaka, yang berlangsung bermula 16 Julai dan dijadual berakhir 1 Ogos ini.

Majlis itu diserikan dengan kehadiran Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh bersama isteri, Datin Seri Utama Datuk Wira Zuriyah Abdul Aziz.

Turut hadir, Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rosli Abdullah; Mufti Kerajaan Negeri Datuk Wira Abdul Halim Tawil; Panglima 3 Divisyen Mejar Jeneral Sani S. Omar; Panglima 10 Briged Para Kem Terendak Mejar Jeneral Datuk Khairul Anuar Soib; Ketua Polis Melaka Datuk Dzulkhairi Mukhtar serta kenamaan lain.

IMG
SUASANA ribuan umat Islam menyuburkan Malam Cinta Rasul Terendak Berselawat di Pavillion Kem Terendak. Foto Muhammad Rasul Azli Samad

Program kerohanian itu dimulakan dengan gema qasidah dan selawat yang dipimpin Kumpulan Ahbabusham dari Damsyik, Syria, sekali gus mengundang ribuan hadirin mengalunkan selawat bersama-sama.

Selepas ia disusuli dengan tazkirah bertajuk ‘Menjadi Mukmin Yang Kuat, Sihat Spiritual dan Intelektual’ yang disampaikan Timbalan Mufti Negeri Pahang, Ustaz Datuk Dr. Badli Shah Alauddin.

Dalam tazkirahnya, beliau mengajak umat Islam supaya membina keseimbangan antara kekuatan iman, ilmu pengetahuan dan kesihatan diri sebagai asas melahirkan masyarakat yang cemerlang serta mampu menghadapi cabaran semasa.

Majlis kemudiannya diakhiri dengan Mahalul Qiyam dan bacaan doa yang dipimpin Mufti Kerajaan Negeri Melaka, memohon kesejahteraan buat negara, Negeri  Melaka, pasukan keselamatan serta seluruh umat Islam.

Bagi menambahkan kemeriahan majlis itu, turut diadakan cabutan bertuah menawarkan tiga buah motosikal utama selain pelbagai peralatan elektrik yang menjadi rezeki kepada pengunjung bertuah.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

425
Kongsi :
Previous post MAIM SANTUNI KELUARGA MANGSA NAHAS IMTIYAZ ULUL ALBAB