
MAIM SANTUNI KELUARGA MANGSA NAHAS IMTIYAZ ULUL ALBAB
MASJID TANAH 30 Julai – Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) menerusi Skuad Agihan Zakat (SAZ) tampil menyantuni keluarga pelajar Sekolah Menengah Imtiyaz Ulul Albab yang terlibat dalam kemalangan jalan raya baru-baru ini.
Ziarah kasih itu diketuai Pegawai Tugas Khas MAIM, Datuk Wira Md Rawi Mahmud bersama Penolong Setiausaha Bahagian Agihan Zakat MAIM, Norazmi Hussin.
Dalam kunjungan berkenaan, MAIM menyampaikan bantuan wang tunai, kit makanan serta alat bantu pemulihan termasuk kerusi roda kepada mangsa yang memerlukan bagi membantu proses rawatan dan pemulihan.
Dalam satu kenyataan, MAIM memaklumkan bantuan itu disalurkan sebagai tanda keprihatinan institusi zakat terhadap kebajikan mangsa serta keluarga yang sedang berdepan ujian.
“Bantuan yang disalurkan diharap dapat meringankan beban keluarga selain memberi sokongan moral kepada mangsa dalam menghadapi tempoh pemulihan,” menurut kenyataan itu.
Selain menziarahi mangsa yang sedang menerima rawatan, rombongan turut menziarahi keluarga Allahyarham Qayyim Ajwad Shahiruddin, salah seorang pelajar yang terkorban dalam kemalangan berkenaan.
MAIM turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham serta mendoakan agar rohnya ditempatkan dalam kalangan orang beriman, manakala mangsa yang masih menjalani rawatan diberikan kesembuhan dan dipermudahkan segala urusan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

