EKONOMI BIRU BUKA 10,000 PELUANG PEKERJAAN UNTUK ANAK MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 56 Saat

KUALA LINGGI 30 Julai – Projek Kuala Linggi International Port (KLIP) dijangka menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi biru negeri apabila mampu mewujudkan antara 6,000 hingga 10,000 peluang pekerjaan dalam pelbagai sektor dan tahap kemahiran kepada rakyat, khususnya anak Melaka.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, pembangunan pelabuhan antarabangsa secara tambak laut seluas 620 ekar itu bukan sahaja memberi limpahan pelaburan, malah bakal membuka peluang kerjaya bernilai tinggi dalam sektor maritim.

Menurut beliau, bagi fasa permulaan, pihak pemaju menyasarkan kerja-kerja penambakan laut dapat disiapkan pada suku ketiga tahun 2028, manakala keseluruhan pembangunan KLIP yang melibatkan nilai pelaburan hampir RM100 bilion dijangka siap dan mula beroperasi secara berperingkat menjelang 2030.

“Projek ini akan menjadi pemangkin kepada Blue Economy atau Ekonomi Biru dan apabila siap kelak, kawasan utara Melaka ini akan menjadi hab maritim yang dibanggakan seluruh rakyat Melaka.

“Ini juga merupakan peluang besar kepada anak-anak Melaka untuk membina kerjaya dalam sektor yang sedang berkembang pesat dan bakal menjadi antara pemacu baharu pertumbuhan ekonomi negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke tapak Cadangan Pembangunan Pelabuhan Antarabangsa Kuala Linggi secara Tambak Laut Seluas 620 Ekar di Perairan Muara Sungai Linggi, Daerah Alor Gajah oleh Linggi Base Sdn. Bhd., di sini, hari ini.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Linggi Datuk Rosli Abdullah; Pegawai Undang-Undang Negeri Melaka Datuk Khairul Azreem Mamat; Pegawai Daerah Alor Gajah Datuk Sabrina Thalas; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) Datuk TPr. Saifuddin Abdul Karim; Pengerusi Eksekutif KLIP Tan Sri Datuk Seri Dr. Noormustafa Kamal Yahya serta kenamaan lain.

Menurut Ab Rauf, Kerajaan Negeri akan terus memberi sokongan dan memainkan peranan sebagai pemudah cara bagi memastikan pembangunan KLIP berjalan lancar, selain mematuhi semua kerangka perundangan serta mencapai sasaran yang ditetapkan.

“Ini bermakna kita mempunyai satu garis masa yang jelas. Justeru, setiap fasa perlu dilaksanakan dengan teratur, dipantau secara berkala dan disiapkan mengikut sasaran yang telah ditetapkan.

“Pada masa yang sama, saya mahu semua agensi berkaitan terus memperkukuhkan kerjasama dan penyelarasan supaya setiap isu melibatkan kelulusan, perkara teknikal mahupun pelaksanaan projek dapat diselesaikan secara bersepadu dan berkesan,” katanya.

Tambah Ketua Menteri, KLIP juga bakal menjadi permulaan kepada sebuah pembangunan berskala besar yang akan mengubah landskap ekonomi Melaka sebagai sebuah hab maritim, logistik dan industri bertaraf antarabangsa.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

414
Kongsi :
Previous post PELABUHAN ANTARABANGSA KUALA LINGGI CAPAI KEMAJUAN LEBIH 10 PERATUS