Melaka tawar jadi tuan rumah Techlympics Malaysia 2024

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

AYER KEROH 12 Oktober – Melaka menawarkan diri untuk menjadi tuan rumah bagi penganjuran pertandingan akhir Techlympics Malaysia 2024.

Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan berkata perkara tersebut masih diperingkat cadangan dan telah dimaklumkan kepada Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Chang Lih Kang.

Katanya, penganjuran itu juga dianggap sebagai amat bertepatan dengan Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).

“Saya telah memaklumkan kepada Menteri MOSTI, untuk ‘grand final’ Malaysia Techlympics pada tahun hadapan agar diadakan di Melaka. Kita menyediakan lokasi bersesuai, pertandingan itu nanti akan melibatkan lebih 5,000 peserta seluruh negara.

“Meskipun baru diperingkat cadangan kita akan cuba untuk merealisasikan pelaksanaan itu dengan menjadikan Melaka sebagai lokasi pertandingan,” katanya.

photo_2023-10-12_18-00-37
Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan mengadakan sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Karnival Minggu Sains Negara 2023 Peringkat Negeri Melaka dan Malaysia Techlympics 2023 Peringkat Zon Selatan di Dewan Pameran, Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, Melaka. Foto: MR. AZLI

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas menghadiri Karnival Minggu Sains Negara 2023 Peringkat Negeri Melaka dan Malaysia Techlympics 2023 Peringkat Zon Selatan yang dirasmikan oleh Menteri MOSTI, Chang Lih Kang di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.

Fairul Nizam berkata penganjuran Malaysia Techlympics 2023 Zon Selatan yang julung kali diadakan di Melaka menerima jumlah penyertaan luar biasa.

“Pada program hari ini melibatkan lebih 1,300 peserta terdiri daripada pelajar sekolah menengah berusia 13 hingga 17 tahun.

“Manakala pada esok pula, penyertaan diterima melibatkan 1,200 peserta terdiri daripada pelajar sekolah rendah.

“Saya melihat dengan penganjuran seumpama ini dapat menyalurkan ilmu teknologi kepada pelajar, sekali gus menjadi persediaan awal bagi pembelajaran Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) serta Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM),” katanya.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1388
Kongsi :
Previous post MOSTI harap Belanjawan 2024, peruntukan meningkat 10 peratus
Next post Pesta Deepavali berlangsung selama 16 hari
Ubah saiz-+=