MOSTI harap Belanjawan 2024, peruntukan meningkat 10 peratus

Masa Membaca:1 Minit, 26 Saat

AYER KEROH 12 Oktober – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) berharap peruntukan bakal diterima bagi Belanjawan 2024 meningkat sebanyak 10 peratus.

Menterinya, Chang Lih Kang berkata peningkatan peruntukkan amat perlu bagi merancakkan sektor penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam bidang Sains, Teknologi dan Inovasi.

“Pada bajet sebelum ini MOSTI menerima RM1.1 bilion dan kita harap ada peningkatan, jika tambah 10 peratus sudah cukup bagus.

“Bajet itu bukan untuk kegunaan kementerian semata-mata tapi menjayakan penganjuran pelbagai progam bagi menarik minat anak-anak muda khusus terhadap Pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

“Kita mungkin akan ketinggalan dalam aspek mencapai taraf negara berteknologi tinggi menjelang 2030 sekiranya dana R&D masih kekal satu peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), jadi kita harap akan ada peningkatan peruntukan tahun hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Karnival Minggu Sains Negara 2023 Peringkat Negeri Melaka dan Malaysia Techlympics 2023 Peringkat Zon Selatan di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.

Hadir sama, Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan serta Timbalannya, Datuk Mohd Noor Helmy Abd Halem dan Ketua Setiausaha MOSTI, Datuk Ts. Dr. Aminuddin Hassim.

Mengulas lanjut, Lih Kang berkata peruntukan yang besar diperlukan bagi menggerakkan pelbagai program yang mampu menarik pelajar terhadap STEM.

“Selain itu kementerian juga berharap peratusan untuk dana R&D dapat ditambah kerana jumlah sedia ada belum memuaskan berbanding negara lain yang agak tinggi antara tiga hingga empat peratus daripada KDNK.

“Sebagai contoh, Korea Selatan menyaksikan dana R&D mereka lebih empat peratus daripada KDNK sebab itu sekarang mereka dapat menikmati hasil daripada pencapaian R&D itu,” katanya.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

828
Kongsi :
Previous post MPAG fokus sosioekonomi penduduk lapan tahun ke hadapan
Next post Melaka tawar jadi tuan rumah Techlympics Malaysia 2024
Ubah saiz-+=