MPAG fokus sosioekonomi penduduk lapan tahun ke hadapan

Masa Membaca:1 Minit, 38 Saat

AYER KEROH 12 Oktober – Mewujudkan suasana pentadbiran dan perkhidmatan lebih mampan yang memberi manfaat kepada sosioekonomi penduduk menjadi keutamaan Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) bagi tempoh lapan tahun akan datang.

Yang Dipertua MPAG, TPr. Saifuddin Abdul Karim berkata, perkara itu adalah antara tang terkandung dalam Smart Blueprint dirangka pihaknya.

Katanya, pelan tindakan itu turut menggariskan kriteria bandar pintar yang selamat dan lestari khusus kepada seramai 220,000 penduduk dalam kawasan pentadbirannya.

“Agenda utama pelan tindakan MPAG ini untuk memperkemaskan pentadbiran Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) supaya cekap dalam menyampaikan perkhidmatan dan memastikan pembangunan yang berlaku adalah mampan.

“Rancangan masa hadapan MPAG melalui pelan ini adalah berdasarkan kepada Smart Melaka Blueprint 2035, kita merancang untuk membangunkan Alor Gajah sebagai bandar lebih selamat dan berdaya maju daripada aspek ekonomi serta persekitaran.

“Kita akan memastikan segala pembangunan dilaksanakan tidak menganggu perancnagan untuk generasi masa hadapan. Apabila ada pembangunan sudah tentu ia dapat dirasai oleh rakyat di kawasan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Melaka Hari Ini selepas pelancaran Smart Blueprint MPAG pada Majlis Perasmian Smart Mobility Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah sempena Smart Melaka International Conference and Expo 2023 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.

Pelancaran berkenaan disempurnakan Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

Hadir sama Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan dan Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Zulkiflee Mohd Zin.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, MPAG juga sedang merancang projek bagi menambah baik persekitaran dan kemudahan awam di empat taman perumahan di daerah itu.

“Ada empat lagi kawasan lapang di taman-taman perumahan akan dinaik taraf untuk kegunaan penduduk, inisiatif ini akan memberikan manfaat kepada semua tanpa mengira peringkat umur.

“Semua kawasan lapang ini akan dijadikan sebagai tempat rekreasi atau riadah untuk penduduk taman meluangkan aktiviti mereka di hujung minggu. Kita mahu pastikan Alor Gajah menjadi sebuah bandar yang bahagia,” katanya.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

733
Kongsi :
Previous post Sistem tanpa tunai diperluaskan ke seluruh bidang keusahawanan di Melaka
Next post MOSTI harap Belanjawan 2024, peruntukan meningkat 10 peratus
Ubah saiz-+=