MELAKA TERIMA PELABURAN TINGGI DARI TIGA NEGARA
SERI NEGERI 27 Disember – Melaka mencatatkan nilai pelaburan tinggi dari tiga negara iaitu Belanda, Hong Kong dan Jepun, bagi tempoh 2019 hingga Jun 2024, kata Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.
Mengulas lanjut Ketua Menteri berkata, rekod setakat ini menunjukkan pelaburan Belanda di Melaka bernilai RM8.402 bilion, Hong Kong RM1.749 bilion dan Jepun sebanyak RM1.296 bilion.
Ketua Menteri berkata, kejayaan menarik pelabur dari ketiga-tiga negara berkenaan adalah hasil insiatif Kerajaan Negeri yang menawarkan pelbagai insentif kepada para pelabur yang berminat bertapak di Melaka.
“Hasil daripada pelaburan ini juga mewujudkan sebanyak 11,094 peluang pekerjaan yang ditawarkan kepada penduduk di negeri ini yang mana 2,505 peluang pekerjaan dari Belanda, 1,230 pekerjaan (Hong Kong) dan 7,359 (Jepun).
“Antara insentif ditawarkan kepada pelabur yang berminat untuk melabur di Melaka adalah harga tanah yang kompetitif dan mampu dimiliki berbanding harga tanah yang lebih tinggi ditawarkan di negeri pesaing selain status tanah pajakan serta pegangan bebas.
“Selain tarif industri untuk bekalan air yang kompetitif di samping kapasiti bekalan mencukupi dan proses kelulusan pelaburan yang pantas menerusi pemantauan dalam Melaka Industrial Booster dikendalikan oleh Invest Melaka Berhad selaku agensi promosi pelaburan negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Datuk Zaidi Attan (BN- Serkam) mengenai insentif ditawarkan Kerajaan Negeri kepada pelabur luar yang berminat melabur di Melaka pada Persidangan Ketiga (Bajet) Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Melaka Yang Kelima Belas di Seri Negeri di sini, hari ini.
Sementara itu, menurut Ab Rauf berkata Melaka juga mencatatkan tiga bidang yang menerima jumlah pelaburan tertinggi yang turut menawarkan peluang pekerjaan yang banyak.
“Pertama adalah bidang elektrik dan elektronik dengan nilai pelaburan RM11.975 bilion (8,192 peluang pekerjaan) dan kedua produk mineral bukan metalik nilai pelaburan RM1.840 bilion (1,276 peluang pekerjaan).
“Diikuti bidang mesin dan peralatan dengan nilai pelaburan sejumlah RM1.671 bilion yang menyediakan sebanyak 1,194 peluang pekerjaan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.