Melaka terima RM21 juta perkasa 6 projek agro

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

AYER KEROH 22 Jun – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) meluluskan peruntukan berjumlah RM21 juta bagi enam projek agro di Negeri Melaka sepanjang tahun ini.

Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, antara projek tersebut ialah menaik taraf Melaka Tropical Fruit Farm di Sungai Udang yang menelan kos RM7.5 juta.

Selain itu, katanya, Kerajaan Negeri turut menerima peruntukan RM2.5 juta bagi menaik taraf ladang rusa dan ladang ragut rumput lembu di Sungai Rambai, selain RM2.5 juta lagi bagi pembangunan Taman Laut Melaka.

“Semua projek ini dijangka akan siap sepenuhnya pada pertengahan tahun depan, dan berupaya menarik kehadiran pelancong dalam subsektor agropelancongan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh merasmikan Melaka Agrofest 2024 di Dataran Sejarah Ayer Keroh, di sini, hari ini.

Hadir sama, Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri Datuk Kalsom Noordin dan Timbalannya Leng Chau Yen; Timbalan Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Low Chee Leong; Timbalan Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Zahari Abd Kalil; Pengarah Pertanian Negeri Melaka Rozli Azizi Talib dan lain-lain kenamaan.

Dalam pada itu, Dr. Muhamad Akmal turut menyeru semua pemain industri yang terlibat dalam sektor pertanian, perladangan dan perikanan untuk memulakan transformasi ke arah pelancongan memandangkan Melaka terkenal sebagai negeri tumpuan pelancong.

Mengambil contoh golongan nelayan di negeri ini, beliau memaklumkan, terdapat pelbagai usaha dilakukan Kerajaan Negeri untuk membantu golongan berkenaan beralih kepada sektor agropelancongan, antaranya membuka lesen pemandu bot pelancong untuk tarikan di Taman Laut Melaka.

“Selain itu, nelayan juga boleh memulakan pakej memancing, tidak kiralah di laut, sungai atau kelong yang mana ia boleh menjadi sumber pendapatan tambahan untuk mereka,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

107
Kongsi :
Previous post Melaka Agrofest 2024 sasar nilai jualan RM1 juta
Next post Melaka peruntuk RM50,000 ‘belanja’ durian percuma
Ubah saiz-+=