Melaka peruntuk RM50,000 ‘belanja’ durian percuma

Masa Membaca:1 Minit, 39 Saat

AYER KEROH 22 Jun – Kerajaan Negeri memperuntukkan kira-kira RM50,000 bagi menjamu durian secara percuma kepada pengunjung Melaka Agrofest 2024, di Dataran Sejarah Ayer Keroh, di sini, hari ini.

Pengarah Pertanian Negeri Melaka Rozli Azizi Talib berkata, dianggarkan sebanyak lima hingga enam tan durian daripada varieti kampung dan kampung premium disediakan untuk program berkenaan, yang mana ia akan dipekkan sebelum diagih kepada orang ramai.

Jelasnya, acara ‘Kendurian’ atau kenduri durian itu merupakan antara tarikan istimewa yang dibawa pada Melaka Agrofest tahun ini bersempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).

“Signifikannya, acara ini diadakan memandangkan Jun merupakan musim durian di seluruh negara. Jadi, ia berupaya menjadi acara tarikan kepada orang ramai, termasuk pelancong yang datang ke Melaka.

“Sebanyak kira-kira 4,000 pek durian telah diagihkan kepada orang ramai sejurus selesai Majlis Perasmian Melaka Agrofest 2024,” katanya ketika ditemui pada majlis berkenaan.

Img 20240622 161842 371

Rozli menunjukkan durian percuma ditawarkan kepada pengunjung. Foto Iqmal Haqim Rosman

Terdahulu, acara perasmian Melaka Agrofest 2024 telah disempurnakan Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Dr. Muhamad Akmal Saleh yang mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

Hadir sama, Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri Datuk Kalsom Noordin dan Timbalannya Leng Chau Yen; Timbalan Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Low Chee Leong; Timbalan Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Zahari Abd Kalil serta lain-lain kenamaan.

Menurut Rozli, selain agihan durian percuma, pengunjung yang datang juga boleh menikmati dua lagi pakej durian berbaloi yang dibawakan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Negeri Melaka.

Jelasnya, dua pakej tersebut ialah Durian Setalam pada harga RM60 dan pakej makan durian sampai puas pada harga RM55 setiap orang.

“Untuk dua pakej ini, pengunjung akan menikmati durian dari varieti kampung, kampung premium, IOI, musang king, black thorn dan lain-lain lagi,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

202
Kongsi :
Previous post Melaka terima RM21 juta perkasa 6 projek agro
Next post Penternakan ikan kelah di Brisu tarikan agropelancongan baharu Melaka
Ubah saiz-+=