Penternakan ikan kelah di Brisu tarikan agropelancongan baharu Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 28 Saat

AYER KEROH 22 Jun – Sebuah pusat penternakan ikan kelah yang diusahakan di Brisu, Alor Gajah bakal menjadi antara tarikan baharu dalam sub sektor agropelancongan di negeri ini.

Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, penternakan ikan yang digelar ‘Raja Sungai’ itu telah diusahakan di kolam ternakan oleh pengusahanya, namun ia akan dinaik taraf untuk menjadi sebuah lokasi mesra pelancong.

Jelasnya, kerja-kerja naik taraf itu membabitkan peruntukan RM1.5 juta daripada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dan dijangka siap pada awal tahun hadapan.

“Sebelum ini, pengusaha sedia ada memang telah menjalankan penternakan ikan kelah di Brisu, namun Kerajaan Negeri tampil membantu untuk mendapatkan bajet tambahan supaya perusahaan ini dapat dipromosikan lebih jauh.

“Pusat penternakan ini akan berkonsepkan mesra alam yang mana apabila siap kelak, ia bakal menjadi satu lagi tarikan untuk pelancong ke Melaka.

“Malah, pelancong juga boleh melihat sendiri cara-cara penternakan ikan kelah dan merasai keenakan ikan yang boleh mencecah harga ratusan ringgit sekilogram itu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh merasmikan Melaka Agrofest 2024 di Dataran Sejarah Ayer Keroh, di sini, hari ini.

Hadir sama, Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri Datuk Kalsom Noordin dan Timbalannya Leng Chau Yen; Timbalan Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Low Chee Leong; Timbalan Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Zahari Abd Kalil; Pengarah Pertanian Negeri Melaka Rozli Azizi Talib dan lain-lain kenamaan.

Menurut Dr. Muhamad Akmal, kerja naik taraf itu juga bakal menjadikan Melaka sebagai negeri pertama membangunkan pusat pembenihan ikan kelah di negara ini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

410
Kongsi :
Previous post Melaka peruntuk RM50,000 ‘belanja’ durian percuma
Next post Melaka cari bakal ‘jutawan’ rock melon
Ubah saiz-+=