Sorting by

×

MELAKA TEROKA AMALAN BAIK INDUSTRI PEMPROSESAN DAGING DI NEW ZEALAND

Masa Membaca:1 Minit, 9 Saat

AYER KEROH 31 Julai – Melaka berhasrat menjadi antara negeri terbaik dalam industri pemprosesan daging membabitkan teknologi moden dengan meneroka ilmu dan amalan terbaik industri berkenaan di New Zealand.

Langkah itu diambil menerusi lawatan kerja rasmi Kerajaan Negeri Melaka ke kemudahan penyembelihan dan pemprosesan daging milik Greenlea Premier Meat Limited di Morrinsville, Hamilton, New Zealand, hari ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh yang mengetuai delegasi Kerajaan Negeri memaklumkan, Greenlea merupakan salah satu loji pemprosesan daging yang diiktiraf untuk eksport, termasuk ke Malaysia.

Tidak hanya itu, jelas beliau, kawasan tersebut juga terkenal dengan kepakaran menghasilkan produk seperti daging segar sejuk beku, potongan tanpa tulang dan organ dalaman.

“Delegasi kami ke sana untuk meneroka secara dekat amalan terbaik industri pemprosesan daging, khususnya dalam teknologi moden, piawaian halal dan keselamatan makanan.

“Ia sebagai rujukan ke arah memodenkan industri makanan dan agroindustri negeri secara mampan,” kata beliau dalam satu hantaran di Facebook rasmi.

Terdahulu, lawatan itu turut disertai Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh dan Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Pembangunan Pertanian Melaka Sdn. Bhd. Azahar Mohamed.

Menurut Ketua Menteri, menerusi lawatan berimpak tinggi seperti itu, Melaka akan terus melangkah ke hadapan, membawa pulang ilmu dan pengalaman antarabangsa untuk manfaat rakyat dan kelestarian Negeri Melaka pada masa akan datang.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

931
Kongsi :
Previous post RMK13: TUMPU ZON PELABURAN PELANCONGAN DI MELAKA, TIGA NEGERI
Next post PELABURAN RM611 BILION DIPERLUKAN BAGI ‘MELAKAR SEMULA PEMBANGUNAN’ DI BAWAH RMK13 – PM