Melaka tidak berhasrat beli sendiri vaksin COVID-19

Masa Membaca:1 Minit, 26 Saat

KOTA LAKSAMANA 28 Feb. – Kerajaan negeri tidak bercadang untuk membeli sendiri bekalan vaksin COVID-19 tambahan kerana jumlah dibekalkan kerajaan pusat adalah mencukupi untuk penduduk di Melaka.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, kenyataan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin yang mengalu-alukan hasrat kerajaan negeri mendapatkan bekalan tambahan dilihat perkara baharu, namun kerajaan negeri mendapat bekalan vaksin mencukupi.

Katanya, malah menerusi mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang diketuai Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan pembelian vaksin itu akan menimbulkan masalah termasuk bekalan diperolehi dikhuatiri dari sumber tiruan.

“Perdana Menteri kata jika hendak beli, beli melalui kerajaan Pusat namun kita tidak bercadang untuk mendapatkan bekalan tambahan kerana jumlah yang dibekalkan kepada kerajaan negeri Melaka mencukupi.

“Kerajaan negeri belum terfikir ke arah itu berikutan jumlah (vaksin) itu cukup untuk rakyat termasuk pekerja warga asing,” katanya kepada pada sidang media selepas menyampaikan bantuan kewangan ‘one off’ kepada 308 pengayuh beca di negeri ini di Hotel Casa Del Rio, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Sulaiman berkata, kerajaan negeri akan berurusan dengan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Melaka bagi mendapatkan jumlah sebenar pekerja asing yang bakal menerima suntikan vaksin.

“Kalau dalam rekod (JTK Melaka), lebih 40,000 pekerja warga asing dan mereka akan diberi vaksin secara percuma.

“Jumlah itu nanti termasuk dalam 600,000 vaksin yang diberi kepada negeri Melaka,” katanya.

Pada 24 Februari lalu, Khairy mengalu-alukan hasrat kerajaan negeri untuk membeli vaksin sendiri bagi menampung keperluan rakyat, namun ia bergantung kepada bekalan vaksin daripada syarikat pengeluar.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari sebelum ini menyatakan hasrat mahu membeli lima juta vaksin COVID-19 bagi kegunaan rakyat negeri itu disusuli kerajaan Sarawak.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

357
Kongsi :
Previous post Pertubuhan Kebajikan Amal En Xin, Hotel Hatten agih makanan percuma
Next post Dua sahabat ditemukan lemas selepas terjatuh di Sungai Skudai
Ubah saiz-+=