Melaka tuan rumah konvensyen muzium Malaysia

Masa Membaca:1 Minit, 37 Saat

TERENGGANU 3 April. – Melaka bakal menjadi tuan rumah bagi penganjuran julung kali Konvensyen Muzium-Muzium SeMalaysia dijadual pada 18 hingga 20 Ogos depan.

Pengerusi Lembaga Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM), Datuk Muhammad Jailani Khamis berkata, ia sebahagian usaha merancakkan lagi industri pelancongan negeri yang menyasarkan kerjasama dengan negeri-negeri di bawah program gelembung pelancongan domestik atau ‘travel bubble’.

Menurutnya, antara intipati konvensyen adalah bagi menentukan hala tuju muzium-muzium di Malaysia dan mewujudkan peranan muzium agar lebih berkesan khususnya kepada generasi baharu pada masa depan.

MUHAMMAD Jailani meneliti kerja-kerja menenun yang merupakan sebahagian aktiviti yang terdapat di Perkampung Budaya Terengganu sempena lawatan kerja Tourism Melaka ke Terengganu.

“Bagi tujuan itu juga, sempena lawatan kerja kerajaan negeri Melaka melalui Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) negeri ke Terengganu, kita membawa hajat menjemput pihak Muzium Terengganu menyertai konvensyen yang dirancang ini.

“Seterusnya, hajat yang sama akan disampaikan melalui Pengurus Besar Tourism Melaka, Sa’ari Basiron dan Pengurus Besar PERZIM, Drs. Mohd. Nasruddin Rahman ke negeri-negeri yang dipilih menjadi rakan kerjasama program travel bubble seperti Pahang dan Perak selepas ini,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas rumusan lawatan Tourism Melaka bagi pembangunan pakej pelancongan Melaka-Terengganu selama tiga hari bermula 29 Mac disertai 27 delegasi mewakili pelbagai agensi kerajaan berkaitan pelancongan.

Muhammad Jailani yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Warisan negeri berkata, satu resolusi secara menyeluruh dijangka dicapai pada akhir konvensyen itu yang lebih menekankan kepada peranan muzium secara meluas.

“Kita tidak mahu muzium setakat datang dan hanya melihat barang-barang lama, muzium perlu ada pembelajaran secara interaktif dan perlu ada tumpuan iaitu hiburan dari segi warisan yang boleh dibudayakan dalam kalangan generasi baharu.

“Muzium tidak boleh lagi dianggap sebagai sekolah bergambar, oleh itu kita perlu menjadikan orang ramai lebih berminat datang ke muzium…bukan sekadar datang dan tengok barang lama tetapi bijak mengenang sejarah serta warisan negara,” ujarnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1283
Kongsi :
Previous post ‘Asam di gunung, garam di laut’ diperluas ke Pahang, Perak dan Kedah
Next post Penyokong boleh ‘gegau Jebat’ 6 April ini
Ubah saiz-+=