‘Asam di gunung, garam di laut’ diperluas ke Pahang, Perak dan Kedah

Masa Membaca:2 Minit, 8 Saat

TERENGGANU 3 April. – Pakej pelancongan Asam Di Gunung, Garam Di Laut anjuran Tourism Melaka akan diperluaskan ke Pahang, Kedah dan Perak selaras dengan komitmen Melaka menjadi negeri pertama menggerakkan program Gelembung Perjalanan Domestik (travel bubble) di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Warisan Melaka Datuk Muhammad Jailani Khamis berkata, ia adalah komitmen Melaka untuk tidak bersaing dengan negeri lain sebaliknya bekerjasama dalam merancakkan lagi industri pelancongan di negeri masing-masing.

Menurutnya, penganjuran pakej itu ke destinasi negeri pertama iaitu Terengganu berjaya merancakkan lagi aktiviti pelancongan di kedua-dua negeri dengan memperkenalkan kemudahan lebih 500 pakej pelancongan murah.

“Pakej pelancongan murah itu menyediakan tawaran ke Melaka-Terengganu atau Terengganu-Melaka selama 3Hari 2Malam dengan harga serendah RM188, malah sebahagian besar daripadanya sudah terjual dalam tempoh tiga hari selepas dilancarkan.

“Melalui pakej ini, pelancong boleh memilih mengikut keperluan dengan harga rendah RM188, pakej pertengahan sekitar RM600-RM700 untuk pasangan suami isteri bercuti bersama, manakala pakej tinggi untuk mereka yang ingin sedikit kemewahan sekitar RM1,000 hingga RM2,000 ke Melaka-Terengganu atau Terengganu-Melaka,” katanya.

Terdahulu, Muhammad Jailani mengetuai lawatan kerja tiga hari delegasi 27 orang mewakili pelbagai agensi kerajaan berkaitan pelancongan Melaka ke Terengganu dan melancarkan Pakej Pelancongan Murah Asam di Gunung, Garam di Laut bersama Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri Terengganu, Ariffin Deraman.

Selain Tourism Melaka, agensi kerajaan lain yang turut terlibat pada lawatan kerja itu ialah Jabatan Perikanan Melaka, MATTA Melaka Chapter & MyBHA Melaka Chapter, Majlis Pembangunan Pulau-Pulau Melaka, Zoo Melaka & Taman Burung MPHTJ, PERZIM, MPAG, MTS dan PlanMalaysia@Melaka.

Selain pelancaran pakej pelancongan Asam di Gunung Ikan di Laut, delegasi mengadakan lawatan ke pusat pengoperasian Taman Laut bersama Jabatan Perikanan Malaysia di Taman Laut Pinang, Pulau Redang, tinjauan ke Pusat Pemuliharaan Penyu Mak Kepit dan destasi terakhir ke Kompleks Muzium Terengganu.

Menurut Muhammad Jailani, hubungan travel bubble dengan Terengganu akan diperhalusi mengikut keperluan semasa termasuk menyediakan kemudahan pengangkutan udara melalui kerjasama beberapa syarikat penerbangan selain kemudahan darat yang sedia ada.

“Kita lihat Terengganu mempunyai produk pelancongan yang Melaka tidak ada seperti keindahan pulau-pulau, maka kita boleh buat pertukaran yang mana Melaka mempunyai khazahah warisan di darat yang agak lebih maju sedikit daripada Terengganu tetapi negeri ini memiliki ekosistem pulau yang lebih maju dari Melaka.

“Oleh itu, kita buat pertukaran iaitu Asam di Gunung (Melaka) manakala Garam di Laut pula (Terengganu), jadi, mana-mana pelancong yang mahu kedua-dua elemen ini, kita ada sediakan di bawah pakej pelancongan murah ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

952
Kongsi :
Previous post Dulu nakal, kini belia ’emas’
Next post Melaka tuan rumah konvensyen muzium Malaysia
Ubah saiz-+=