Melaka United tewas, tapi meyakinkan

KELAB Bolasepak Melaka United (MUFC) terpaksa akur tewas 0-1 dalam aksi persahabatan menentang Terengganu FC (TFC) di Stadium Hang Jebat, malam tadi.

Meskipun tewas buat kali kedua berturut-turut dalam aksi pra musim, skuad berwajah baharu kendalian Risto Vidakovic dilihat mula menunjukkan keserasian di atas padang.

Aksi di babak pertama antara yang mencuri tumpuan apabila barisan pemain mempamerkan aksi tersusun dengan beberapa gerakan berjaya dicipta.

Walaupun tiada gol terhasil, namun pujian wajar diberikan kepada dua tonggak import baharu MUFC Emmanuel Oti dan Justin Baas yang mempamerkan aksi meyakinkan.

Di babak kedua, Vidakovic melakukan beberapa pertukaran yang menyaksikan beberapa lagi peluang keemasan berjaya dicipta untuk menjaringkan gol.

Namun, TFC berjaya memecah kebuntuan apabila dihadiahkan sepakan penalti pada minit ke-76.

Sepakan itu berjaya disudahkan Jordan Mintah, sekali gus menjadi gol tunggal perlawanan itu.

Vidakovic dalam sidang media selepas perlawanan tetap berbangga dengan persembahan anak buahnya meskipun tewas.

Katanya, pemain telah menunjukkan corak permainan yang diharapkan, selain mempamerkan sikap mahu melawan.

“Secara keseluruhan saya gembira. Mereka bermain mengikut perancangan, jadi bagi saya ia satu kemajuan yang diinginkan.

“Walaupun pemain bermula agak lambat untuk menyesuaikan diri, tetapi mereka berjaya mencipta banyak peluang yang mana saya yakin jika kita akan lakukan lebih baik seiring dengan masa,” katanya.

Sementara itu, pengendali TFC Nafuzi Zain menganggap Melaka United pasukan yang lebih baik dalam aksi persahabatan itu.

“Bagi saya kami tidaklah hebat memandangkan dalam 90 minit permainan ada situasi yang Melaka United lebih baik dari kita.

“Jadi, kita akan meneliti segala kelemahan dan tidak akan sesekali menganggap kemenangan dalam aksi persahabatan ini sebagai tiket untuk ambil mudah,” katanya.

Selepas ini, skuad Hang Tuah dijadual beraksi dalam satu lagi aksi persahabatan menentang Selangor FC sebelum membuka tirai aksi Liga Super musim 2022 pada 5 Mac depan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

202
Previous post SOP Liga Malaysia 2022 kekal – Ahmad Faizal
Next post Bomba ‘cilik’ padam api