Sorting by

×

Melaka yakin beralih ke fasa dua September ini

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

AYER KEROH 28 Ogos – Melaka yakin mampu beralih ke fasa dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) pada bulan hadapan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, ia susulan negeri ini sudah mencapai 50 peratus vaksinasi bagi individu dewasa 18 tahun ke atas yang lengkap dua dos suntikan vaksin.

Bagaimanapun, katanya perkara itu tertakluk kepada keputusan mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) jika nilai ambang tiga indikator peralihan fasa dikaji semula.

“Saya yakin selepas ini akan ada mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan kita mohon agar Melaka dipindahkan ke fasa dua apabila nilai ambang dinilai semula kepada mereka telah mendapat 50 peratus vaksinasi.

“Insha-Allah, saya yakin Melaka ke fasa dua September ini sekiranya penjadualan vaksin sampai ke negeri melaka seperti mana yang dijadualkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas hadir Program Vaksinasi dan Trauma Penjaja, Peniaga dan Penyewa Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) di perkarangan Melaka Mall, di sini, hari ini.

SULAIMAN (kiri) bersama Shadan (kanan) hadir meninjau Program Vaksinasi dan Trauma Penjaja, Peniaga dan Penyewa Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) di perkarangan Melaka Mall, di sini, hari ini.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Alam Sekitar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Khas Menangani COVID-19, Datuk Seri Abdul Ghafaar Atan, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Antidadah negeri, Datuk Rahmad Mariman dan Yang Dipertua MPHTJ, Datuk Shadan Othman.

Mengulas lanjut Sulaiman berkata, tiga minggu dahulu Melaka mengalami kekurangan bekalan vaksin sekali gus menjejaskan usaha kerajaan untuk mencapai 50 peratus vaksinasi individu lengkap dua dos suntikan.

“Sepatutnya, kita dapat vaksin 78,000 tetapi pada minggu itu (tiga minggu lalu), kita hanya menerima 52,000 vaksin jadi ada kekurangan.

“Kekurangan itu (sekali gus) membantutkan usaha kita untuk mencapai sasaran seawal Oktober bagi menyelesaikan program vaksinasi penuh bagi seluruh rakyat negeri Melaka,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

440
Kongsi :
Previous post Agong, Raja Permaisuri zahir takziah kepada keluarga Tun Ahmad Sarji
Next post 450 Jalur Gemilang diagihkan di DUN Lendu
Ubah saiz-+=