Melaka yakin capai 5.6 juta pelancong tahun ini

Masa Membaca:1 Minit, 8 Saat

AYER KEROH 15 Dis. – Pembukaan semula pintu Melaka apabila pergerakan merentas negeri dibenarkan pada 7 Disember lalu membantu merealisasikan hasrat kerajaan negeri untuk menarik seramai 5.6 juta pelancong menjelang akhir bulan ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Haji Sulaiman Md Ali berkata seramai 3.6 juta pelancong direkodkan sehingga Jun lalu dan jumlah itu dijangka meningkat apabila Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPB) ditamatkan awal pada 21 November lalu.

Katanya, tahun lalu kerajaan negeri mencapai sasaran seramai 20 juta pelancong pada tahun 2020, namun berikutan pandemik COVID-19 melanda dunia, sasaran itu terpaksa dikaji semula.

“Tahun lalu, kita mencatatkan jumlah pelancong seramai 18.7 juta berbanding sasaran kita iaitu seramai 19 juta, manakala tahun ini pula, kita mensasarkan seramai 20 juta pelancong ke Melaka, namun terpaksa dipinda kerana kekangan penularan wabak COVID-19 yang bermula sejak awal tahun lalu.

“Sehubungan itu, kita hanya meletakkan sasaran seramai 5.6 juta pelancong ke Melaka tahun ini dan saya yakin jumlah itu akan dapat dicapai menjelang akhir bulan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan sumbangan Hari Krismas kepada 140 penganut Kristian di Dewan Seri Bendahara, di sini hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan negeri, Datuk Wira Latipah Omar; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hasan dan Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Shahrul Lalli Masduki.

Views:

342
Kongsi :
Previous post Sila patuh SOP ketika bercuti
Next post Ungku Aziz meninggal dunia
Ubah saiz-+=