Menara Taming Sari sasar 6,000 pengunjung Aidilfitri ini

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

BANDA HILIR 8 April – Melaka Taming Sari Berhad (MTSB) menyasarkan seramai 6,000 pengunjung akan menaiki menara ikonik itu setiap hari pada Aidilfitri tahun ini.

Pengurus Jualan dan Pemasaran Menara Taming Sari Berhad, Mohd Husni Husin berkata, sasaran itu ditetapkan mengambil kira peningkatan kepulangan anak rantau ke kampung pada perayaan tahun ini.

“Bulan puasa orang tidak ramai sangat, jadi kita harap pada Hari Raya Aidilfitri nanti pengunjung dari dalam dan luar Melaka yang datang dalam anggaran 6,000 orang setiap hari.

“Besar harapan kita agar sasaran itu dapat direalisasikan, dari segi pemasaran kita memang akan membuat diskaun.

“Terdapat juga diskaun sebanyak 20 peratus bagi pengguna telco seperti Celcom dan Digi yang ingin naik ke Menara Taming Sari,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas mengedarkan bubur lambuk kepada orang ramai di hadapan menara berkenaan, di sini, semalam.

IMG_20230407_234406_844
BANDA HILIR – Pengurus Jualan dan Pemasaran Menara Taming Sari Berhad (MTSB), Mohd Husni Husin (kanan) bersama kakitangannya bergambar sebelum mengagihkan bubur lambuk kepada pengguna jalan raya pada Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) dengan mengedarkan bubur lambuk di perkarangan Menara Taming Sari, Jalan Merdeka, Banda Hilir, Melaka. Sebanyak 360 bungkus bubur lambuk diagih-agihkan kepada orang ramai secara percuma. Foto: MR. AZLI

Dalam pada itu, Mohd Husni berkata, sepanjang Ramadan MTSB aktif melaksanakan Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) dengan mengedarkan bubur lambuk kepada orang ramai.

“Kita edarkan sebanyak 360 bekas bubur lambuk untuk kali ini, dan sebenarnya program CSR ini diadakan empat kali pada setiap bulan Ramadan.

“Tujuan kita edarkan bubur untuk berkongsi rezeki dengan pengunjung, pengguna jalan raya serta jiran-jiran berdekatan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1327
Kongsi :
Previous post Parlimen Kota Melaka sumbang RM120,000 untuk 24 masjid
Next post Iftar Mega rai keluarga besar MiCoST
Ubah saiz-+=