MENARA TAMING SARI SASAR 800,000 PENGUNJUNG
BANDA HILIR 6 Januari – Menara Taming Sari yang menyajikan permandangan 360 darjah sekitar bandar Melaka menyasarkan 800,000 pengunjung tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Melaka Taming Sari Berhad, Nur Azan Hassan berkata, sasaran itu dibuat sempena menyambut baik kejayaan Melaka dipilih menjadi tuan rumah Hari Pelancongan Sedunia 2025 (WTD 2025).
Justeru katanya, beberapa bentuk program telah dirangka bagi menggamit lebih ramai pengunjung menjadikan Menara Taming Sari sebagai destinasi pelancongan pilihan.
“Misalnya untuk Melaka Bila Larut Malam, kita akan mengadakan banyak persembahan poket (pocket show) di ruang legar menara sementara menunggu detik 11 malam.
“Tahun ini juga pasukan saya telah menyusun pelbagai program di mana perinciannya akan dimaklumkan kelak.
“Yang pasti, saya mengajak orang Melaka dan pelancong untuk datang ke Melaka dan seterusnya menjadikan Menara Taming Sari sebagai destinasi percutian pilihan untuk mengabadikan kenangan,” katanya kepada Melaka Hari Ini pada program Melaka Bila Larut Malam edisi Januari 2025, di sini, 4 Januari lalu.
Melaka Bila Larut Malam merupakan inisiatif pertama dalam negara yang membuka produk pelancongan sehingga jam 2 pagi.
Malah, pelancong dan pengunjung dapat menikmati promosi tiket kemasukan hanya RM10 ke beberapa lokasi pelancongan terpilih dalam Negeri Melaka yang diadakan setiap Sabtu minggu pertama setiap bulan dari jam 11 malam hingga 2 pagi.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.