
MENGHAMPIRI TIGA DEKAD SWM ENVIRONMENT KOMITED PASTIKAN MELAKA BERSIH DAN LESTARI
AYER KEROH 29 Julai – Setelah hampir 28 tahun berkhidmat untuk rakyat Melaka, SWM Environment komited untuk mengekalkan pencapaian membanggakan khususnya dalam menyediakan perkhidmatan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam yang efisien, sistematik serta mesra alam.
Pengurus Besar Korporat SWM Environment, Mohd Norlisam Mohd Nordin berkata, antara pencapaian utama yang direkodkan sepanjang tempoh hampir tiga dekad ini adalah purata kutipan sisa pepejal harian yang tinggi iaitu sekitar 1,170 tan sehari bagi Negeri Melaka sahaja.
Mengulas lanjut Mohd Norlisam berkata, sementara itu bagi purata kutipan sampah harian untuk Negeri Sembilan, Melaka dan Johor pula adalah sekitar 4,083 tan sehari.
“Selain kutipan sisa pepejal SWM Environment juga melaksanakan kerja-kerja lain seperti pemotongan rumput, pembersihan longkang dan sapuan jalan. Tanggungjawab menjaga kebersihan dan memastikan Melaka sentiasa lestari dipikul oleh 1,400 orang kakitangan kami.
“Kami mengambil pendekatan menyeluruh, sistematik, berdaya saing daripada segi kos dan menggunakan teknologi inovatif bagi meningkatkan mutu perkhidmatan dengan memperkenalkan jentera berteknologi tinggi dalam operasi harian.
“Antara jentera canggih yang digunakan termasuk lori kompaktor, ‘Ultra-Whack Vacuum Cleaner’, ‘Road Sweeper’, ‘Robot Road Sweeper Water Jet’ serta ‘Beach Comber’ bagi meningkatkan keberkesanan kerja pembersihan di kawasan seliaan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Menurutnya, sebagai langkah memudahkan proses pelupusan sisa, SWM Environment membekalkan tong sampah beroda secara percuma iaitu tong berkapasiti 120 liter untuk kediaman, 240 liter untuk rumah kedai atau pusat komersial selain menempatkan tong berkapasiti besar di lokasi strategik seperti pasar awam.
Sementara itu bagi memastikan kepuasan hati pengguna, pihaknya turut menyediakan sistem aduan yang teratur dengan setiap maklumat diterima direkodkan bagi tindakan susulan dan penambahbaikan perkhidmatan.
“Selepas hampir tiga dekad berkhidmat, SWM Environment kekal komited untuk meningkatkan lagi standard pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam demi kesejahteraan rakyat Melaka dan negeri-negeri lain yang menerima perkhidmatannya. Dengan usaha berterusan ini, syarikat berhasrat memastikan persekitaran yang bersih dan selamat untuk generasi masa depan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.