Menteri tolak cadangan Guan Eng

Masa Membaca:1 Minit, 39 Saat

BANDARAYA MELAKA 9 April. – Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menolak cadangan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng untuk membantu kementeriannya menganjur satu persidangan khas bagi membincangkan isu berkaitan perubahan iklim.

Beliau berkata, tiada sebab untuk melayan cadangan disifatkan mahu meraih sokongan politik itu memandangkan pihaknya mempunyai banyak perancangan membabitkan isu perubahan iklim.

Beliau menambah, Guan Eng sepatutnya lebih menitikberatkan isu pencemaran sungai yang berlaku di Pulau Pinang sebelum cuba berlagak hero dalam kerja-kerja membabitkan kementeriannya.

“Kalau Guan Eng nak cadang sesuatu, saya fikir dia kena selesaikan isu pencemaran di Pulau Pinang dahulu selain pencemaran di Sungai Kerek, Kampung Selamat dan isu ternakan babi yang masih belum selesai sehingga mencemarkan alam sekitar.

“Bagi kementerian ini, kita ada tanggungjawab yang lebih besar menerusi penganjuran program yang kita laksanakan. Insya-Allah banyak yang harus kita lihat dan laksanakan untuk kepentingan rakyat,” katanya ketika ditemui dalam program Melaka Bumi Lestari di Hotel La Crista, di sini.

Semalam, Guan Eng menggesa Menteri Alam Sekitar dan Air agar menganjurkan persidangan peringkat kebangsaan untuk membincangkan isu-isu perubahan iklim.

Beliau berkata, pihaknya sedia membantu menganjurkan persidangan itu kerana ia perlu dilakukan agar kerajaan khususnya kementerian berkenaan dapat mengumpul idea baru untuk memulihkan aktivisme dan kepemimpinan Malaysia.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata, pihak kementeriannya kini sedang dalam usaha menggubal rang undang-undang (RUU) berkaitan perubahan iklim bagi membincangkan hala tuju status perubahan iklim.

Katanya, penggubalan rang undang-undang itu sangat penting bagi membolehkan segala tindakan yang bakal dibuat mempunyai ikatan perundangan yang tersendiri.

Perkara itu, ujar beliau akan dibincangkan dalam penganjuran Majlis Tindakan Perubahan Iklim Malaysia (MyCAC) Bil. 1 Tahun 2021 yang akan dipengerusikan oleh Perdana Menteri pada 13 April ini.

“Antara perkara yang akan dibincangkan adalah tindakan, obligasi dan hala tuju status perubahan iklim di Malaysia, Pelan Pembangunan Mobiliti Rendah Karbon, Pelan Induk Bandar Rendah Karbon Negara dan juga Pembangunan Dasar dan Garis Panduan Berkaitan Mekanisme Pasaran Karbon di Malaysia,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

272
Kongsi :
Previous post Perhilitan buka 19 kertas siasatan, nilai sitaan RM656,000 dalam OBK 7
Next post Cara bagaimana Sajat lolos akan dikongsikan – KPN
Ubah saiz-+=