Perhilitan buka 19 kertas siasatan, nilai sitaan RM656,000 dalam OBK 7

Masa Membaca:1 Minit, 25 Saat

KOTA LAKSAMANA 9 April. – Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) membuka 19 kertas siasatan membabitkan pelbagai kesalahan dengan jumlah sitaan bernilai RM656,000 dalam Ops Bersepadu Khazanah (OBK) bermula Januari hingga Mac tahun ini.

Ketua Pengarahnya Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, kertas siasatan itu dibuka atas pelbagai kesalahan membabitkan isu pencerobohan, pembalakan haram, mencuri hasil hutan dan pemburuan hidupan liar.

Katanya, dalam tempoh sama sebanyak 104 jerat dimusnahkan dan 15 kesan khemah pendatang tanpa izin (PATI) dijumpai.

“Turut dijumpai 10 kesan penebangan pokok karas dan 51 kesan pemburuan lain.

“Dalam tempoh itu, seramai 43 individu turut ditahan yang terdiri daripada 35 warga tempatan dan lapan warga asing,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) Siri 7 di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador dan Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Datuk Seri Abdul Latif Abdul Kadir.

Mengulas lanjut beliau berkata, dalam keseluruhan OBK 2019 hingga Mac tahun ini, pihaknya merampas dan menyita 18 senjata api berlesen serta buatan sendiri daripada pemburu haram mengikut Akta Senjata 1960 (Akta 206) dan Akta Senjata Api (Penalti lebih berat) 1971 (Akta 37) oleh pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Beliau berkata, sejak Jun tahun lalu operasi berkenaan diperkukuhkan dengan pelaksanaan Program Perlindungan dan Rondaan Biodiversiti (BP3) melibatkan pelantikan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Orang Asli (OA) sebagai renjer hidupan liar.

“Seramai 93 veteran ATM dan 110 OA dilantik bagi meningkatkan keberkesanan bagi mengesan kawasan panas pencerobohan, pemburuan haram, pembalakan haram termasuk pembasmian jerat.

“Manakala bagi tahun ini, seramai 600 renjer hidupan liar dilantik menerusi BP3 yang terdiri 160 veteran ATM dan 425 OA,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

605
Kongsi :
Previous post Kaji semula sewa bazar dan pasar Ramadan-MBMB
Next post Menteri tolak cadangan Guan Eng
Ubah saiz-+=