Menu eksotik dari ‘kuala’

Masa Membaca:2 Minit, 1 Saat

KUALA LINGGI 26 November – Isi dan telur belangkas yang dikatakan manis berlemak membuatkan hidangan eksotik itu semakin mendapat tempat dalam kalangan ‘food hunter’ di seluruh negara.

Tidak terkecuali di Melaka apabila Restoran Citarasa Belangkas sentiasa menerima pengunjung yang datang dari dalam dan luar negeri ini bagi menikmati hidangan eksotik berkenaan.

Pemiliknya, Azizi Buyaman, 29 berkata, restorannya yang telah beroperasi selama enam tahun tidak pernah sepi daripada pengunjung, malah ada sebahagiannya sanggup beratur berjam-jam lamanya demi hidangan belangkas yang diolah dengan tiga jenis cara masakan.

“Saya bermula dengan jualan penghantaran ke rumah (COD) kemudiannya terfikir untuk buka restoran pula.

“Dulu kalau ikutkan belangkas ini tak ada harga pun tapi sekarang harga seekor belangkas mentah boleh mencecah RM30 di tempat lain dan menariknya orang sanggup beli.

“Saya terkejut ramai penggemar belangkas ini bukan sahaja dari Malaysia tapi Singapura pun ada makan sini. Lagi terharu ada yang sanggup bawa belangkas mentah dari luar Melaka untuk kami masakkan,” katanya kepada Melaka Hari Ini (MHI).

2
FAUZIAH Mohd Yasin, 56 atau lebih dikenali sebagai Mak Ogy memasak dua menu berasaskan belangkas iaitu sambal belangkas dan belangkas masak lemak cili padi yang mendapat permintaan tinggi di Citarasa Belangkas. Foto: Aufa Izzati

Tambah Azizi, cabaran terbesar untuk mengekalkan menu itu sebagai hidangan utama adalah untuk mendapatkan stok belangkas mentah daripada pembekal atau nelayan.

Katanya, selain bekalan belangkas yang terhad, faktor ketidaktentuan cuaca membuatkan dia sukar mendapatkan bekalan di sesuatu kawasan.

“Belangkas ini bermusim, ia naik ketika air pasang besar. Jadi kalau bukan dalam waktu itu, hendak mendapatkan sepuluh ekor belangkas sehari pun susah.

“Saya pernah pergi sampai ke luar Melaka dan diusir serta dihalau oleh peraih di sana kerana dianggap ‘menceroboh’ kawasan mereka untuk mendapatkan bekalan belangkas,” katanya.

3
TELUR belangkas yang mempunyai tekstur segar dan berlemak mendapat permintaan tinggi. Foto: Aufa Izzati

Kata Azizi yang mengusahakan restoran itu bersama ibunya Fauziah Mohd Yasin, 56, mereka sangat teliti ketika menyiang haiwan eksotik itu bagi memastikan hidangan belangkas itu sentiasa segar dan tidak beracun.

“Semua orang tahu bahagian tengah perut itu ada racun. Buang bahagian itu dan cuci betul-betul sebelum memasak.

“Kita bagi pilihan kepada pelanggan hendak belangkas masak sambal, lemak cili api atau masak rempah pun ada di sini.

“Harapan saya semoga belangkas dapat dijadikan makanan tradisi, kegeraman orang Melaka sepanjang zaman,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

7296
Kongsi :
Previous post TYT dan isteri saksikan teater Tun Mamat dan Puteri Gunung Ledang
Next post KMB fokus aktiviti maritim
Ubah saiz-+=