KMB fokus aktiviti maritim

Masa Membaca:1 Minit, 26 Saat

AYER KEROH 26 November – Kumpulan Melaka Berhad (KMB) akan memberikan fokus kepada aktiviti maritim di Tanjung Kling dan Tanjung Bruas dalam usaha untuk memperkasakan pertumbuhan ekonomi Negeri Melaka.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Salleh Jusman berkata bagi tujuan itu pihaknya membina Jeti Tanjung Kling yang berkeluasan kira-kira 0.5 hektar (1.2 ekar) untuk menyokong aktiviti industri minyak dan gas.

“Buat masa ini keluasan tanah yang sedang operasi adalah 1.2 ekar, tetapi Kerajaan Negeri bersama Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) setuju menjual tanah seluas 0.6 hektar (1.5 ekar) sebagai tambahan.

“Kami juga sedang giat menjalankan kerja-kerja pembinaan jeti bertaraf antarabangsa. Kami yakin dengan pelebaran kawasan ini dan kedalaman yang mencukupi ia boleh digunakan oleh industri minyak dan gas.

“Kapal-kapal dan pedagang melabur di Selat Melaka boleh menjalankan aktiviti pembekalan serta penghantaran barangan ke Melaka,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini (MHI) selepas Majlis Makan Malam Tahunan 2022 Kumpulan Melaka Berhad (KMB) ‘The Glamorous Night’ di sebuah hotel, di sini, semalam.

Majlis itu dirasmikan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali.

Hadir sama isteri Ketua Menteri Datin Seri Utama Munirah M. Yusop; Timbalan Pengerusi KMB, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer; Ahli Lembaga Pengarah KMB merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pantai Kundor, Tuminah Kadi dan Pengurus Besar Perbadanan Ketua Menteri Melaka (CMI) Masrul Faizal Mohamad.

Mengulas lanjut Salleh berkata KMB turut melaksanakan beberapa program bagi meningkatkan kualiti aset sedia ada dalam syarikat.

“Alhamdulillah tahun 2022 pencapaian direkodkan amat memberansangkan dan kita mencatatkan perolehan positif.

“Saya yakin dengan pelaburan akan datang yang memfokuskan kepada industri minyak dan gas KMB akan terus bergerak maju dan dapat menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Negeri Melaka,” katanya.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2466
Kongsi :
Previous post Menu eksotik dari ‘kuala’
Next post KMB perlu tingkat aliran tunai dalam aktiviti perniagaan – KM
Ubah saiz-+=