Menyamar pakai ‘vest’ polis untuk samun, pekerja kilang ditahan

Masa Membaca:1 Minit, 19 Saat

BANDA HILIR 28 Sept. – Kelicikan seorang penyamun ‘lone ranger’ melakukan jenayah pecah premis dan samun sejak Julai hingga 19 September lalu menemui noktah apabila dicekup polis petang Sabtu lalu.

Suspek pekerja kilang berusia 25 tahun itu ditahan sepasukan polis di tempat kerjanya di Bukit Rambai kira-kira jam 5 petang.

Ketua Polis Melaka Datuk Wira Abdul Majid Mohd Ali berkata, dengan penahanan suspek, polis berjaya menyelesaikan lima kes jenayah pecah masuk dan samun stesen minyak, FamilyMart dan kedai perkakasan di daerah Melaka Tengah dalam tempoh 17 Julai hingga 19 September lalu.

ABDUL Majid.

Beliau berkata, siasatan mendapati suspek juga mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah.

“Hasil semakan kamera litar tertutup (CCTV) mendapati modus operasi suspek ialah memecah masuk premis selepas ia ditutup dan menutup mukanya dengan kain.

“Dia bersenjatakan parang serta menggunakan kereta jenis Kia Forte serta memakai vest dan tali pinggang yang mempunyai logo polis,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Melaka Senior Asisten Komisioner Mohd Sukri Kaman dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Melaka Superintendan Zulkiflee Rashid.

ABDUL Majid melihat kereta digunakan suspek.

Mengulas lanjut, Abdul Majid berkata, dengan tertangkapnya suspek tersebut, polis percaya tujuh kes pecah premis berkenaan berjaya diselesaikan yang melibatkan kerugian bernilai RM30,000.

“Suspek kini direman hingga 30 September dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan Seksyen 392 kanun sama,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1437
Kongsi :
Previous post Rampasan dadah di Melaka meningkat kepada RM16.9 juta dalam tempoh PKP
Next post Agong puas hati lawatan khas ke UK
Ubah saiz-+=