Merawat kepatahan tulang pinggul

Masa Membaca:2 Minit, 49 Saat

AYER KEROH 13 Mac – Masalah kepatahan tulang pinggul atau kepatahan ‘fragiliti’ (fragility fracture) kebiasaannya akibat penyakit osteoporosis dalam kalangan warga emas di Malaysia kini semakin meningkat dan boleh berlaku kepada sesiapa sahaja.

Jika dibiarkan berlarutan, masalah kesihatan itu bukan sahaja mengehadkan pergerakan sebalik menyebabkan individu berkenaan mengalami rasa sakit berpanjangan dan perlu berbaring bagi tempoh yang panjang.

Pakar Perunding Bedah Ortopedik dan Trauma Pantai Hospital Ayer Keroh, Dr. Mohd Rusdi Draman@Yusof berkata, kesan lain akibat masalah itu adalah berlaku keradangan setempat, mengganggu salur darah, saraf dan tisu badan pesakit, seterusnya menyebabkan kesakitan akut yang teruk.

“Masalah ini pada kebiasaannya disebabkan oleh faktor usia pesakit. Kekerapan warga emas menghidap penyakit ini semakin meningkat, di mana-mana hospital akan ada situasi ini yang melibatkan warga emas.

“Antara kaedah berkesan untuk merawat masalah ini adalah menerusi pembedahan separa pinggul bagi memastikan pesakit dapat berjalan seperti sedia kala,” katanya ketika ditemui Melaka Hari Ini di Pantai Hospital Ayer Keroh di sini, baru-baru ini.

RISIKO DIHADAPI WARGA EMAS AKIBAT KEPATAHAN TULANG PINGGUL

Menurut Dr. Mohd Rusdi masalah itu tidak boleh dibiarkan berlarutan kerana pesakit terdedah kepada pelbagai risiko atau komplikasi seperti darah beku pada bahagian kaki iaitu Trombosis Vena Dalam (DVT) dan jika dibiarkan boleh menyebabkan masalah embolisma pulmonari (PE) yang dibimbangi boleh menyebabkan kematian mengejut.

“Kedua, apabila berbaring bagi tempoh masa yang panjang, pesakit berisiko mengalami ‘bedsore’ seperti luka di punggung atau mana-mana bahagian yang menerima tekanan, sakit ini boleh merebak sampai ke tulang, lebih serius berlaku jangkitan kuman hingga bernanah dan busuk.

“Disebabkan kerap baring, paru-paru pesakit juga tidak dapat berkembang penuh, jadi berisiko berlaku jangkitan kuman dalam paru-paru, ini juga boleh menyebabkan kematian.

“Keempat kencing kotor, iaitu bila terbaring pesakit susah mahu buang air kecil jadi ia bertakung dalam pundi kencing dan menyebabkan pesakit mendapat kencing kotor,” katanya.

MATLAMAT RAWATAN KEPATAHAN TULANG PINGGUL WARGA EMAS

Dr. Mohd Rusdi berkata, pembedahan mampu membantu pesakit untuk berjalan seperti biasa dalam tempoh yang singkat selepas selesai menjalani rawatan.

“Kami mahu ubah keadaan pesakit daripada berbaring dengan membantu mereka berjalan seperti biasa secepat mungkin. Matlamat rawatan adalah membantu pesakit bangkit daripada katil dan berjalan kembali tanpa kesakitan.

“Untuk capai matlamat itu, tiada cara lain kecuali dengan kaedah pembedahan, tulang pinggul yang patah kita kena betulkan supaya pesakit boleh berjalan, jika pesakit berusia, biasanya kita buat pembedahan gantian separa pinggul menggantikan tempat yang rosak itu.

“Sebelum lakukan pembedahan, kami akan jalankan diagnosis dahulu, selepas disahkan pesakit ada kepatahan pinggul, mereka perlu masuk bermalam di hospital bagi rawatan mengurangkan kesakitan,” katanya.

PASTIKAN PESAKIT SELAMAT SEBELUM RAWATAN

Beliau berkata, pemeriksaan terperinci akan dilakukan bagi memastikan kepatahan tulang pinggul pesakit bukan berpunca akibat masalah kesihatan atau penyakit lain.

“Pada kebiasaan, rawatan dimulakan dengan pesakit diberikan ubat tahan sakit ‘skin traction’, kemudian kita lakukan pemeriksaan dari kepala hingga ke kaki bagi mengesan mereka ini ada masalah kesihatan lain atau tidak.

“Kadang-kadang pesakit terjatuh dan patah tulang pinggul kerana diserang strok, bacaan gula rendah, masalah jantung dan pelbagai lagi.

“Kalau ada punca yang lain kita kena siasat lebih terperinci, kita akan buat pemeriksaan kesihatan yang lengkap kerana warga emas ini ada pelbagai masalah yang boleh mendorong ke arah kepatahan tulang pinggul.

“Jika pesakit itu memang sihat sebelum ini, maka kita boleh melakukan terus pembedahan dan kebanyakan pesakit dirawat boleh berjalan kembali hanya dalam masa satu hari selepas pembedahan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

647
Kongsi :
Previous post ‘Ab Rauf bawa pelaburan bermanfaat kepada rakyat’
Next post Beri anak minum susu campur dadah: Ibu tukar pengakuan kepada tidak bersalah
Ubah saiz-+=