Mimpi petanda anak, menantu dan cucu ‘pergi’ serentak

Masa Membaca:1 Minit, 46 Saat

ALOR GAJAH 28 Oktober – Seorang bapa tidak menyangka bermimpikan anak perempuannya bersama suami serta bayi mereka memakai sepersalinan pakaian berwarna hitam dan putih dua minggu lalu menjadi petanda tiga beranak itu akan pergi untuk selamanya.

Abd Rajak Sakiman, 66 berkata mimpi itu menjadi kenyataan apabila dia kini benar-benar kehilangan anak, menantu serta cucu serentak dalam kemalangan di Kilometer 216 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah utara pagi tadi.

Dalam kemalangan pada jam 11.30 pagi itu, anak perempuan Abd Rajak, Zubaidah, 28 bersama Muhammad Nazirul Syafiq Azmi, 28 yang memandu kereta Honda Jazz dan serta bayi mereka, Muhammad Rizqi berusia satu tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Menurut bapa kepada tujuh anak itu, dia bagaimanapun tidak menceritakan mimpi itu kepada ahli keluarga dan menganggap mimpi itu mainan tidur.

“Saya mimpi Jue (Zubaidah) bersama suami dan anak pakai baju hitam dan putih, seakan petanda mereka sekeluarga akan pergi meninggalkan kami.

“Saya tak sangka perkara itu berlaku hari ini, kehilangan anak, menantu dan cucu serentak dalam satu hari.

“Saya tak sangka kerana sepatutnya kami sekeluarga berkelah di Port Dickson hari ini selepas dia merancang bersama adik-beradik lain secara mengejut malam tadi,” ujarnya menahan sebak ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Alor Gajah, hari ini.

photo_2022-10-28_13-27-32 (1)
KEMALANGAN mengorbankan tiga beranak di Kiometer 216 Lebuh Raya Utara Selatan arah utara berhampiran susur keluar Plaza Tol Simpang Ampat di sini pagi tadi. Foto ihsan pembaca

Mengulas lanjut, Abd Rajak memaklumkan dia bersama menantu dan anak yang lain sudah tiba di Port Dickson dan menunggu tiga beranak itu namun Allahyarham Zubaidah sekeluarga tidak kunjung tiba sehinggalah jam 1.30 petang tadi menerima panggilan yang memintanya untuk ke Hospital Alor Gajah.

“Anak saya, si kakak kepada Jue sempat berjumpa Jue sekeluarga sebelum bergerak ke Port Dickson di Skudai pagi tadi dan memberitahu saya muka Jue nampak lain,” jelasnya.

Tambah Rajak, dia sekeluarga bagaimanapun akur dengan ketentuan Ilahi kehilangan anak, menantu dan cucu sekaligus dalam kemalangan itu.

“Saya reda dengan ketentuan, jika sudah tertulis begini pengakhiran anak saya, saya terima,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

7134
Kongsi :
Previous post Mangsa banjir Melaka menurun
Next post Masjid Lubuk Redan terima van jenazah sumbangan TNB
Ubah saiz-+=