Misi Bantuan Kemanusiaan Mangsa Banjir dan Pasca Covid capai objektif

Masa Membaca:1 Minit, 17 Saat

AYER KEROH 23 Jan. – Misi Bantuan Kemanusiaan Mangsa Banjir dan Pasca Covid anjuran Persatuan Pelancongan Negeri Melaka (MTA) bersama Yayasan Ukhuwah Harmoni Malaysia (YUHA) Malaysia tiba di Pekan, Pahang, kira-kira jam 1.30 petang tadi.

Selepas menempuh perjalanan kira-kira 4 jam dari Melaka dengan menaiki sebuah bas persiaran, seramai 10 sukarelawan berjaya mencapai objektif misi berkenaan bagi menyalurkan sumbangan berupa barangan keperluan asas kepada mangsa banjir di Pahang.

Istimewanya, bas persiaran berkenaan dipandu sendiri oleh Naib Presiden MTA, Mohd Farid Eshak yang juga pengasas YUHA.

BERSEMANGAT… Madeline (tengah) bersama Kamarudin (baju batik) dan Mohd Farid (kiri) dan sukarelawan misi bantuan Kemanusiaan Mangsa Banjir dan Pasca Covid ke Pahang bersedia untuk ke Pahang

Presiden MTA, Madeline Kuah Wey Lee berkata, pihak juga terharu apabila Penasihat Agama kepada Ketua Menteri, Datuk Kamarudin Sedik menawarkan diri menyertai misi itu.
Katanya, keseluruhannya penganjur menerima pelbagai barangan keperluan asas dan wang tunai bernilai RM20,000 bagi menjayakan misi itu.

“Sumbangan ini dikumpulkan sejak Selasa lalu dan kita mendapat perhatian serta kerjasama baik daripada pelbagai agensi kerajaan negeri dan badan korporat yang menderma.

“Antaranya pakaian, sabun mandi dan pencuci pakaian, makanan kering, air mineral, perkakasan elektrik termasuk kipas angin dan lampu serta alat tulis.

“Semua barangan ini diserahkan di Madrasah Al-Husna, Pekan, Pahang,” katanya ketika dihubungi, petang tadi.

Sementara itu, Madeline berkata, antara penyumbang misi bantuan berkenaan termasuk Menara Taming Sari, Pusat Perubatan Mahkota, Ukhuwah Travel and Tours Sdn Bhd, Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PSPM) dan Hotel MITC.

Views:

1016
Kongsi :
Previous post COVID-19: Dua Kluster baharu, satu kematian di Melaka
Next post Alasan ikut kawan, empat penagih dicekup AADK
Ubah saiz-+=