MOF perhalusi kaedah terbaik stabilkan harga ayam

Masa Membaca:2 Minit, 5 Saat

KULAI 18 Sept – Kementerian Kewangan (MOF) akan memperhalusi kaedah menstabilkan harga ayam yang kini sedang meningkat naik agar ia dapat memberikan impak terbaik kepada pengguna dan penternak ayam di seluruh negara.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata usaha itu akan dijalankan bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI).

“Kerajaan sedar akan isu harga ayam yang meningkat naik, bagaimanapun segala keputusan dibuat perlu melihat dari segi impak kepada penternak dan semua pihak terlibat serta industri lain di dalam rantaian bekalan makanan, khususnya impak kepada pengguna, itu keutamaan kerajaan.

“Saya juga difahamkan MAFI menjangkakan kenaikan harga ayam ini hanya sementara akibat ketidaktentuan permintaan pasaran, susulan pembukaan semula beberapa sektor ekonomi,” katanya kepada pemberita selepas melawat Pusat Ternakan Kelah di Asuko Genius Sdn Bhd, di sini hari ini.

Sementara itu, beliau berkata pemberian subsidi kepada pengusaha dan penternak ayam akan dibincangkan terlebih dahulu dan buat waktu ini masih belum ada keputusan berhubung perkara tersebut.

Pada 11 Sept, Timbalan Menteri KPDNHEP Datuk Rosol Wahid dilaporkan akan mengemukakan cadangan kepada MOF, untuk memberi subsidi kepada pengusaha ladang ayam di negara ini sebagai langkah mengawal kenaikan harga ayam.

Rosol dipetik sebagai berkata kenaikan harga ayam ketika ini dilaporkan berpunca daripada peningkatan harga komponen makanan ayam iaitu soya dan jagung yang diimport sepenuhnya, dan memberi kesan kepada penternak ayam tempatan.

Dalam perkembangan lain, Tengku Zafrul berkata Belanjawan 2022 dijangka lebih memberi perhatian kepada perkembangan industri pertanian dan penternakan, kerana berdasarkan potensi sedia ada dan matlamat untuk memperkasa inisiatif jaminan makanan atau ‘food security’.

“Jaminan makanan dilihat antara elemen yang dipentingkan dalam Pakej Rangsangan dan juga Belanjawan 2021. Kali ini ia akan tetap diberi keutamaan bagi membina asas untuk penambahbaikan agar kita tidak terlalu bergantung kepada sumber makanan import pada jangka panjang,” katanya.

Tengku Zafrul berkata, alternatif untuk menaikkan industri pertanian itu juga dilihat sebagai kesinambungan belanjawan tahun lalu, selain peruntukan yang telah dibelanjakan.

“Secara keseluruhannya, melalui pakej-pakej rangsangan dan bajet 2021 sebanyak RM3.15 billion diperuntukan untuk sektor pertanian dan sebanyak RM1.75 billion telah berjaya disalurkan kepada peladang, penternak dan nelayan, untuk projek-projek berkaitan pertanian.

“Projek-projek telah dilaksanakan termasuk yang berkaitan logistik semasa Perintah Kawalan Pergerakkan (PKP), kemudahan mikro kredit di bawah Agrobank dan projek-projek negeri termasuk di negeri Johor,” katanya.

Terdahulu, sempena lawatan berkenaan Tengku Zafrul menzahirkan keterujaannya melihat potensi sedia ada negeri Johor dalam menaikkan industri pertanian sebagai industri utama janaan ekonomi negara.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

557
Kongsi :
Previous post Kejayaan hadiah buat arwah bapa
Next post Sultan Nazrin berkenan lantik Jemaah Pemangku Raja Perak
Ubah saiz-+=