Sorting by

×

Sultan Nazrin berkenan lantik Jemaah Pemangku Raja Perak

Masa Membaca:1 Minit, 17 Saat

IPOH 18 Sept – Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berkenan melantik Jemaah Pemangku Raja Perak berkuat kuasa hari ini.

Setiausaha Dewan Negara Perak Toh Amar Seri Diraja Datuk Seri Ayop Hashim dalam satu kenyataan berkata Raja Muda Perak Raja Jaafar Raja Muda Musa dilantik menjadi Pengerusi Jemaah Pemangku Raja Perak.

Dua lagi individu dilantik sebagai ahli jemaah ialah Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja Jeneral (B) Tan Sri Dr Mohd Zahidi Zainuddin dan Orang Kaya Kaya Seri Agar Diraja Tan Sri Ramli Ngah Talib.

“Ini selaras dengan Undang-undang Tubuh Kerajaan Perak Darul Ridzuan, Bahagian Kedua, Perkara XV; dalam tempoh masa baginda menjalankan fungsi-fungsi Yang di-Pertuan Agong,” katanya.

Sultan Nazrin yang juga Timbalan Yang di-Pertuan Agong menjalankan fungsi-fungsi Yang di-Pertuan Agong sebagaimana diperuntukkan di bawah Perkara 33(1) Perlembagaan Persekutuan sepanjang keberangkatan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah ke United Kingdom.

Dilapor, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin dalam satu kenyataan berkata lawatan khas Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah ke United Kingdom itu bermula semalam hingga 27 Sept ini dan Seri Paduka berdua kemudian berkenan beristirahat di London bermula 27 Sept dan dijadualkan berangkat pulang ke tanah air pada 23 Okt.

Ahmad Fadil berkata lawatan khas itu adalah kali kedua Seri Paduka ke United Kingdom sejak dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong selepas kali pertama pada 9 Dis 2019 selama tujuh hari.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1054
Kongsi :
Previous post MOF perhalusi kaedah terbaik stabilkan harga ayam
Next post 100 pek makanan buat gelandangan
Ubah saiz-+=