Mohd Hamdi Naib Canselor UM baharu

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

AYER KEROH 31 Okt. – Pelantikan Prof. Datuk Dr. Mohd Hamdi Abd Shukor sebagai Naib Canselor Unversiti Malaya (UM) dibuat melalui persidangan Jawatankuasa Tetap Pemilihan Naib Canselor.

Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata, cadangan pelantikan Mohd Hamdi itu dimaklumkan kepadanya selepas proses permohonan dan sesi temu duga.

“Pelantikan itu melalui proses permohonan dan Mohd Hamdi telah ditemuduga dan beliau dicadangkan kepada saya melalui jawatankuasa tetap panel pemilih.

“Beliau salah seorang yang dicadangkan kepada saya. Ini bagi menggantikan penyandang jawatan itu yang habis tempoh,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menerima Darjah Gemilang Seri Melaka (DGSM) pada sesi ketiga Istiadat Penganugerahan Darjah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka sempena Sambutan Hari Jadi Ke-71 Tuan Yang Terutama Tun Seri Setia (Dr.) Mohd Ali Mohd Rustam di Balai Istiadat Seri Negeri, hari ini.

Media semalam melaporkan, Mohd Hamdi dilantik sebagai Naib Canselor Universiti Malaya (UM) baharu berkuat kuasa 1 November.

Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dalam kenyataannya berkata, pelantikan Mohd Hamdi yang juga Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), bagi menggantikan penyandang jawatan Datuk Dr. Abdul Rahim Hashim yang akan tamat kontrak esok.

Katanya, lantikan baharu itu sah dalam tempoh tiga tahun sehingga 31 Oktober 2023.

Terdahulu, Noraini menzahirkan ucapan terima kasih kepada Tuan Yang Terutama atas penganugerahan pingat yang diberikan kepada beliau.

“Saya lihat dalam empat sesi pemberian pingat ini ramai wanita yang telah dan akan menerimanya daripada Melaka, saya selaku Ketua Wanita Malaysia ingin mengucapkan ribuan terima kasih atas penghargaan diberikan oleh peringkat negeri kepada wanita,” katanya.

Views:

1432
Kongsi :
Previous post Pelan kawal COVID-19 jangka panjang dibentang minggu depan
Next post Belanjawan 2021: Harap pelajar IPT dapat manfaat
Ubah saiz-+=