Mohon bina jalan pintasan Machap Jaya – Durian Tunggal

Masa Membaca:1 Minit, 13 Saat

AYER KEROH 4 Januari – Cadangan pembinaan jalan pintasan dari persimpangan Kampung Machap Umboo ke Masjid Ar-Rahman Parit Melana Durian Tunggal bakal memanfaatkan 10,000 penduduk di kawasan itu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Machap Jaya, Ngwe Hee Sem berkata, pembinaan jalan pintasan sejauh 5.1 kilometer (km) itu bagaimanapun masih di peringkat permohonan yang perlu dimasukkan dalam Bajet 2025 Kerajaan Persekutuan.

“Kita mahu jalan pintasan ini dibina kerana pada waktu pagi di kawasan Seri Pengkalan sangat sesak, selepas ini di kawasan Machap Umboo pula akan ada banyak projek dibangunkan.

“Jadi bagi mengelakkan keadaan di sana lebih sesak terutamanya pada waktu puncak, kita mohon supaya cadangan pembinaan jalan pintasan ini dapat dimasukkan dalam Bajet 2025 nanti.

“Kajian dan kos pembinaan jalan pintasan ini akan dilaksanakan oleh Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer dan Jabatan Kerja Raya (JKR),” katanya kepada Melaka Hari Ini di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Hee Sem berkata pembinaan jalan itu sudah tentu memberikan keselesaan kepada penduduk yang menggunakan laluan itu khususnya warga Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap Jaya.

Terdahulu Hee Sem bersama Hameed mengadakan lawatan di kawasan Lesong Batu untuk cadangan pembinaan jalan pintasan di kawasan tersebut.

Antara agensi terlibat pada lawatan itu adalah JKR, Unit Perancang Ekonomi Negeri Melaka (UPEN), Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dan Pejabat Daerah Alor Gajah.

Turut hadir Pengarah JKR Melaka, Datuk Ir. Ismail Abd Rahman.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2474
Kongsi :
Previous post Melaka destinasi pelancongan mesra OKU
Next post Perkukuh hubungan diplomatik Melaka-China
Ubah saiz-+=