Mohon segerakan jambatan sementara di Pulau Gadong

Masa Membaca:1 Minit, 35 Saat

KLEBANG 26 September – Pembinaan jambatan sementara di Pulau Gadong perlu disegerakan bagi memudahkan urusan penduduk di kawasan berkenaan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Klebang Datuk Lim Ban Hong berkata, jambatan berkenaan yang runtuh pada 22 September lalu menyebabkan ratusan penduduk di sekitar Pulau Gadong dan Setulang Daeng, Bukit Rambai terjejas.

Katanya, walaupun mempunyai jalan alternatif lain, namun, penduduk berhampiran terpaksa menggunakan jalan yang lebih jauh bagi melakukan urusan seharian seperti keluar bekerja atau menghantar anak ke sekolah.

“Sebelum ini, pada Mei lalu, penduduk telah membuat aduan bahawa jambatan tersebut semakin mendap dan pada Jumaat lalu kita dikejutkan dengan berita jambatan berkenaan runtuh.

“Mujurlah runtuhan itu tidak menyebabkan sebarang kemalangan jiwa kerana tiada kenderaan melalui kawasan tersebut pada ketika itu.

“Namun, kini, penduduk berharap agar pembinaan jambatan sementara dapat dipercepatkan untuk melancarkan urusan seharian mereka, khususnya yang kerap melalui jalan berkenaan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Sambutan Hari Ladang dan Program Pertanian Bandar Peringkat Daerah Melaka Tengah di Masjid Al Aminin, Batang Tiga, di sini, hari ini.

Terdahulu majlis tersebut dirasmikan Timbalan Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Low Chee Leong dan turut dihadiri Pengarah Pertanian Melaka Rozli Azizi Talib.

Mengulas lanjut, Ban Hong memaklumkan punca runtuhan jambatan berkenaan kini sedang disiasat sebuah jawatankuasa khas yang ditubuhkan oleh Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin.

Pada masa sama, katanya, pihaknya akan memastikan kejadian jambatan runtuh itu menjadi agenda utama dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Daerah Melaka Tengah, esok.

“Apapun, kita tidak menolak kemungkinan bahawa jambatan ini runtuh mungkin disebabkan arus deras akibat hujan berlarutan yang berlaku minggu lalu.

“Cuma satu kebimbangan kita ialah runtuhan berkenaan akan menyebabkan berlaku gangguan bekalan elektrik memandangkan terdapat kabel elektrik di kawasan itu. Namun, kita berharap ia tidak berlaku dan kerja baik pulih dapat dilakukan secepat yang mungkin,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1455
Kongsi :
Previous post RoS buru persatuan terlibat jenayah, ganggu ketenteraman awam
Next post Wanita didakwa simbah anak lelaki dengan air panas
Ubah saiz-+=