MOTAC semarak seni budaya secara fizikal

Masa Membaca:1 Minit, 13 Saat

AYER KEROH 28 Mei – Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya (MOTAC) menerusi Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) akan melaksanakan aktiviti dan program berbentuk fizikal secara lebih aktif bermula tahun ini.

Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Mohd Amran Mohd Haris berkata, usaha itu bagi mengaktifkan lebih banyak program kebudayaan dan kesenian di peringkat negeri.

Katanya, antara program yang dilaksanakan adalah Penyemarakan Seni Budaya di setiap 11 kompleks JKKN seluruh negara.

“Selepas tempoh dua tahun pandemik COVID-19, kita mahu aktifkan lebih banyak program dan apa yang disasarkan adalah untuk menghidupkan kembali kesedaran untuk menghargai seni budaya secara fizikal serta bersemuka.

“Program Penyemarakan Seni Budaya dijadikan platform utama dalam mempromosi pertingkatkan kesedaran, pengetahuan masyarakat terhadap kepentingan seni dalam kehidupan menerusi pelaksanaan di setiap kompleks JKKN.

“Menerusi program ini juga, kita menyediakan peluang dan ruang berkarya kepada semua pemain industri daripada setiap peringkat.

“Maknanya setiap persembahan atau pementasan akan ada tontonan daripada orang awam secara fizikal,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Program Menyemarak Seni dan Budaya: Gegau Seni Budaya @Melaka (GSBM) dan pementasan teater muzikal Cak Kun Cak Melaka 2023 di Kompleks Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negeri (JKKN) Melaka, di sini, malam tadi.

Majlis tersebut turut diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam.

Hadir sama, Exco Pelancongan, Seni dan Budaya negeri Datuk Abdul Razak Abdul Rahman dan Pengarah JKKN Melaka, Ezlina Elias.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1532
Kongsi :
Previous post TMM2024: Sasar 120,000 pelancong Filipina ke Melaka
Next post Macau scam: Guru dakwa rugi RM187,000
Ubah saiz-+=