TMM2024: Sasar 120,000 pelancong Filipina ke Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

AYER KEROH 28 Mei – Kerajaan Negeri menyasarkan seramai 120,000 pelancong dari Filipina berkunjung ke negeri ini pada Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).

Exco Pelancongan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman berkata, sasaran itu berdasarkan perkembangan positif yang diterima menerusi Siri Jelajah Pelancongan TMM2024 ke negara tersebut minggu lalu.

Katanya, seramai 20 delegasi Melaka terdiri daripada pemain industri pelancongan negeri mengikuti siri jelajah pelancongan tersebut.

“Pada siri jelajah pelancongan ke Filipina baru-baru ini, kira-kira 80 ejen pelancongan dan pemain industri pelancongan di sana mahu jalin kerjasama dengan kolaborasi untuk mewujudkan pakej istimewa kepada pengunjung dua negara (Malaysia-Filipina).

“Daripada jumlah tersebut 50 daripadanya adalah pemain industri pelancongan daripada Manila dan 30 darinya adalah dari Davao.

“Manakala delegasi Melaka ke Filipina terdiri daripada pemain industri pelancongan negeri seperti Menara Taming Sari Berhad, Melaka River Cruise, Zoo Melaka, Perbadanan Muzium Melaka (Perzim) dan pelbagai lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Program Menyemarak Seni dan Budaya: Gegau Seni Budaya @Melaka (GSBM) dan pementasan teater muzikal Cak Kun Cak Melaka 2023 di Kompleks Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negeri (JKKN) Melaka, di sini malam tadi.

Majlis tersebut turut diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Mohd Amran Mohd Haris dan Pengarah JKKN Melaka, Ezlina Elias.

Mengulas lanjut, Abdul Razak berkata pihaknya akan meneruskan siri jelajah pelancongan bersempena TMM2024 ke Brunei dan Indonesia.

Jelasnya, beliau mensasarkan untuk menarik lebih ramai pengunjung dari negara Asia Tenggara.

“Saya mensasarkan negara-negara Asia Tenggara menjadi tumpuan siri jelajah pelancongan sempena TMM2024, selain menarik pelancong domestik dalam negara dan Timur Tengah,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1463
Kongsi :
Previous post Kompleks JKKN ditutup hingga November
Next post MOTAC semarak seni budaya secara fizikal
Ubah saiz-+=