
MPHTJ ‘GEMPUR’ PREMIS MAKANAN TIDAK BERSIH
AYER KEROH 3 September – Bukan sahaja keadaan dapur yang tidak terurus malah bahan basah didapati turut ‘dilonggok’ di dalam peti.
Itu antara kesalahan yang dikesan penguatkuasa Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) dalam operasi premis makanan yang dijalankan, semalam.
Yang Dipertua MPHTJ, Datuk Sapiah Haron berkata dalam Operasi Pemeriksaan Premis itu sebanyak 11 buah premis perniagaan makanan di bawah kawasan pentadbiran MPHTJ diperiksa dan beberapa kesalahan dikenal pasti.
“Dalam operasi dijalankan itu beberapa kesalahan telah dikesan antaranya gagal menyelenggara dan memastikan premis berada dalam keadaan bersih, menjalankan perniagaan tanpa lesen serta tidak mematuhi syarat pelesenan.
“Selain itu terdapat juga premis yang membuat iklan tanpa permit dan melakukan halangan kaki lima seperti meletakkan meja dan kerusi tanpa kebenaran.
“Susulan itu sebanyak sebanyak enam notis dan 16 kompaun bernilai antara RM250 sehingga RM1000 setiap satu telah dikeluarkan kepada pemilik premis,” katanya.

Menurut Sapiah, operasi itu dilakukan bagi memastikan premis khususnya yang menggaji pekerja warga asing mengikut syarat lesen serta mematuhi aspek kebersihan ditetapkan.
“Di pihak MPHTJ kami tidak akan berkompromi dengan mana-mana premis yang didapati mengabaikan aspek kebersihan terutamanya.
“Untuk itu tindakan di bawah Undang-Undang Kecil (UUK) Pelesenan Tred (MPHTJ) akan diambil kepada pemilik yang gagal memastikan keadaan premis berada dalam keadaan bersih dan mematuhi syarat pelesenan ditetapkan oleh pihak majlis,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.