MPHTJ kesan pemilik premis liat bayar cukai taksiran

Masa Membaca:56 Saat

AYER KEROH 8 Mei – Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) melaksanakan Operasi Kutipan Cukai Taksiran Harta Pintu Ke Pintu bagi mengesan pemilik premis yang liat untuk melunaskan tunggakan masing-masing.

Yang Dipertua MPHTJ, Datin Sapiah Haron berkata, antara objektif operasi berkenaan adalah mengesan pemilik premis didapati mempunyai tunggakan cukai taksiran yang tinggi termasuk sudah melebihi tempoh tiga tahun.

Katanya, operasi itu membabitkan Ahli Majlis, pegawai Jabatan Kewangan, Jabatan Penguatkuasaan, Jabatan Pelesenan dan Unit Undang-Undang MPHTJ.

Menurutnya, dalam operasi dilaksanakan itu pihaknya telah melaksanakan satu perjumpaan bersama pemilik premis terlibat dan berbincang berkaitan kaedah penyelesaian isu terbabit.

“Kami turut menyerahkan Notis Borang E yang memerlukan pemilik harta membuat pembayaran dalam tempoh 15 hari selaras dengan keperluan Seksyen 147, Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171).

“Selain itu, pemilik turut dipanggil untuk hadir pada sesi rundingan dan diberi notis peringatan agar menjelaskan tunggakan. Pemilik juga diberi penerangan mengenai kaedah pembayaran bagi memudahkan mereka,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Sapiah berkata, operasi dilaksanakan itu juga dapat membantu MPHTJ mengenal pasti premis-premis yang tidak lagi beroperasi bagi tindakan selanjutnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

58
Kongsi :
Previous post Pupuk minat orang muda belajar tulisan jawi, seni khat
Next post ‘Bila Larut Malam’ pasti meriah
Ubah saiz-+=