MPPM disaran pantau rapi kemasukan pengunjung ke Pulau Besar

Masa Membaca:1 Minit, 11 Saat

TELOK MAS 2 Feb. – Majlis Pembangunan Pulau-Pulau Melaka (MPPM) disaran meningkatkan kerjasama dengan pihak berkuasa agama di negeri ini dalam memantau kemasukan pengunjung serta membuat pemeriksaan berkala di Pulau Besar.

Mufti Melaka, Datuk Wira Halim Tawil berkata, ini kerana Pulau Besar dilihat berpontensi dijadikan lokasi oleh kumpulan tertentu untuk melakukan kegiatan menyalahi undang-udang dan bertentangan hukum syarak.

Katanya, pihaknya sedia maklum ada kumpulan tertentu berkaitan persilatan, perbomohan, takrifat bersuluk dan ajaran sesat menjadikan Pulau Besar lokasi aktiviti mereka.

“Saya tak kata apa jenis kumpulan, cuma ada antara mereka ini yang berminat ke Pulau Besar dan kita sedang pantau.

“Cumanya ajaran seperti tular baru-baru ini kita tidak dapat rekod yang tepat tentang mereka,” katanya kepada pemberita di Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Melaka di Padang Temu, hari ini.

Halim berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai video berdurasi lapan minit lima saat tular di Facebook menunjukkan sekumpulan individu melakukan upacara ritual didakwa berlaku di Pulau Besar dan dikaitkan dengan ajaran sesat.

“Seperti kita tahu kegiatan itu bertapak di Negeri Selangor, kita agak terkejut jika mereka menjadikan Pulau Besar sebagai lokasi untuk jalankan ritual atau upacara yang tertentu.

“Saya harap Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) dan MPPM dapat memantau kemasukan pengunjung dan aktiviti pengunjung di Pulau Besar.

“Pengusaha bot juga perlu merekodkan butiran kemasukan pengunjung ke Pulau Besar bagi memudahkan siasatan jika berlaku kegiatan yang bertentangan hukum syarak dan sebagainya,” katanya.

Views:

1288
Kongsi :
Previous post Ikan yu bodoh ada harga
Next post Adik kandung Amir jalani pemeriksaan fizikal, mental di hospital
Ubah saiz-+=