Adik kandung Amir jalani pemeriksaan fizikal, mental di hospital

Masa Membaca:1 Minit, 42 Saat

AYER KEROH 1 Feb. – Dua adik kandung Allahyarham Zubaidi Amir Qusyairi Abd Malek yang meninggal dunia disyaki didera, masih berada di bawah pengawasan Hospital Melaka bagi menjalani pemeriksaan fizikal dan ujian calitan COVID-19.

Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Melaka, Burhanuddin Bachik berkata kanak-kanak lelaki dan perempuan berusia dua dan empat tahun itu juga akan dipantau selama beberapa hari sama ada mengalami trauma atau sebaliknya.

Menurutnya, pihak JKM menunggu keputusan pemeriksaan itu sebelum mendapatkan perintah mahkamah bagi hak penjagaan sementara kedua-dua kanak-kanak berkenaan.

“Selepas menerima keputusan doktor, kita akan terus bawa ke mahkamah untuk mendapatkan perintah hak penjagaan sementara yang mana kita akan letakkan mereka di institusi kita iaitu di Rumah Kanak-kanak di Cheras, Kuala Lumpur.

“Kita letakkan mereka di bawah pengawasan JKM memandangkan nenek kandungnya sudah uzur dan tidak mampu menjaga dua kanak-kanak ini.

“Walaupun dua adik Allahyarham itu lelaki dan perempuan, kita akan tempatkan mereka bersama dan kita tidak akan pisahkan memandangkan institusi yang ada boleh menempatkan kedua-dua sekali,” katanya ketika dihubungi Melaka Hari Ini (MHI).

Mengulas lanjut, Burhanuddin berkata, tempoh jagaan sementara oleh pihak JKM kepada kedua-dua kanak-kanak itu bergantung kepada keputusan pihak polis.

“Kita akan lihat sama ada keputusan polis mahu mendakwa atau membebaskan ibu bapa kanak-kanak ini. Jika dibebaskan, kita akan bawa ke mahkamah untuk menilai kembali keadaan ibu bapa kandung mereka.

“Jika semuanya baik, kita akan serahkan kembali kepada keluarga mereka,” katanya lagi.

Jumaat lalu, seluruh Malaysia gempar dengan kisah tragis membabitkan kematian seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun yang dipercayai akibat didera ibu kandung dan bapa tirinya dalam satu kejadian di Taman Krubong Jaya.

Kanak-kanak malang itu didakwa lemas di dalam tong air di rumahnya dalam kejadian pada kira-kira 4 petang, namun siasatan awal polis mendapati terdapat kecederaan fizikal pada badan mangsa.

Hasil bedah siasat yang dijalankan turut menemui beberapa kecederaan lama dan baharu pada tubuh mangsa, namun sebab kematiannya belum dikenal pasti berikutan spesimen organ dalaman termasuk hati, paru dan jantung dihantar ke Jabatan Kimia bagi mendapatkan laporan makmal.

Views:

2975
Kongsi :
Previous post MPPM disaran pantau rapi kemasukan pengunjung ke Pulau Besar
Next post Tiada kaki bukan alasan untuk malas berusaha
Ubah saiz-+=