Tiada kaki bukan alasan untuk malas berusaha

Masa Membaca:3 Minit, 48 Saat

TANJUNG BIDARA 2 Feb. – Jangan jadikan kekurangan diri sendiri sebagai asbab untuk ‘duduk di bawah ketiak orang lain’ dan menjadi malas.

Itu prinsip yang diterapkan Zainal Atan, 51, yang tetap berusaha untuk bekerja sebagai pemandu e-hailing meskipun dirinya tidak memiliki kedua-dua belah kaki.

Dia yang berasal dari Bahau, Negeri Sembilan kini aktif menjadi pemandu Grab sepenuh masa dengan menjadikan Bandaraya Melaka sebagai lokasi utamanya mencari penumpang.

Menurutnya, meskipun terpaksa berulang-alik 80 kilometer setiap hari dari kediamannya di Tanjung Bidara ke kawasan bandar, namun itu bukan penghalang untuknya berusaha kuat demi mencari sesuap nasi buat isteri dan lima anak tirinya.

SENTIASA berdikari dan tidak pernah mengharapkan bantuan orang lain.

“Pernah juga isteri menyuruh saya berhenti kerja dan duduk di rumah sahaja memandangkan keadaan fizikal saya yang tidak sama dengan orang lain.

“Tetapi saya memang tak boleh duduk diam. Saya mesti buat sesuatu setiap hari kerana saya tidak mahu menjadi orang kurang upaya (OKU) yang manja dan malas.

“Kebiasaannya memang setiap hari saya akan keluar sejak 8 pagi dan pulang 8 malam. Pendapatan yang diterima tidak menentu. Ada masa saya boleh mendapat RM50 ke RM60 sehari dan ada kalanya pulang dengan tangan kosong,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

HILANG KAKI DI USIA MUDA

Bercerita tentang insiden hitam yang mengubah nasibnya daripada seorang lelaki normal kepada OKU, Zainal berkata, kejadian berlaku ketika dia berumur 19 tahun dan bekerja di sebuah kilang sawit di Mersing, Johor.

Katanya, kejadian berlaku apabila dia tersepit mesin di kilang berkenaan dan membuatkan tulang belakangnya patah serta menjadi lumpuh.

Tidak berakhir di situ, kisah tragisnya kehilangan kedua-dua belah kaki berlaku beberapa bulan selepas itu apabila dia terkena air panas hingga menyebabkan berlakunya jangkitan kuman dan kakinya terpaksa dipotong.

“Selepas lumpuh, saya cuba untuk berdikari dan tidak menyusahkan keluarga. Ketika saya sedang memasak air, air yang sedang menggelegak itu terkena pada kaki dan itulah yang mengubah hidup saya sepenuhnya.

“Pada awal memang sukar untuk saya menerima hakikat. Boleh dikatakan saya mengalami kemurungan pada waktu itu dan saya sering mengamuk serta memecahkan barang-barang di rumah.

“Namun, situasi saya semakin stabil selepas saya dapat melihat ke dunia luar dan menyaksikan sendiri bahawa ada individu di luar sana yang lebih susah daripada saya,” katanya.

JADI GELANDANGAN MASJID CINA

Disangka panas sampai ke petang rupanya hujan di tengah hari. Tiada siapa menyangka mahligai perkahwinan pertama yang dibinanya berakhir dengan penceraian pada 2014.

Bermula dari itu, kehidupan Zainal berubah buat kali kedua yang mana dia akhirnya mengambil keputusan untuk keluar dari rumah keluarganya dan berhijrah ke Melaka.

Dia berkata, pada ketika itu dia hanya membawa diri sehelai sepinggang bersama sebuah kereta Proton Saga dan menjadikan Masjid Cina di Krubong sebagai rumah baharunya.

“Masa mula-mula selepas bercerai memang saya ‘down’ sangat. Pada waktu itu juga saya berselisih faham dengan keluarga membuatkan saya mengambil keputusan membawa diri.

“Tinggal berseorangan di Masjid Cina inilah yang banyak mengajar saya tentang erti kehidupan dan dari sini juga saya diberi tunjuk ajar untuk menjadi pemandu Grab,” katanya.

Zainal berkata, di Melaka jugalah dia bertemu dengan isterinya sekarang, Hayati Mohd Yusof, 48, dan anak tirinya yang banyak memberi sokongan dan kata-kata semangat untuknya meneruskan hidup.

MANGSA PENUMPANG DURJANA

Bercerita lanjut mengenai pengalamannya sebagai pemandu Grab, Zainal mengakui pernah beberapa kali ditipu penumpang yang tidak jujur.

Jelasnya, antara kejadian yang masih diingati ialah apabila membawa seorang wanita dari Sungai Udang ke Kampung Gangsa yang mana penumpang tersebut bertindak melarikan diri sejurus sampai ke destinasi tersebut.

Namun, kejadian paling tragis ialah ketika membawa seorang pelajar sebuah universiti swasta di Bukit Beruang yang mana ketika kejadian, keretanya terkandas dalam banjir, sebelum penumpang berkenaan bertindak melarikan diri dan meninggalkannya sendirian di dalam kereta.

“Ketika itu air naik sehingga ke tempat duduk kereta. Penumpang itu bukan sahaja tidak bayar tambang, malah dia melarikan diri begitu sahaja tanpa membantu saya.

“Pada waktu itu, saya terpaksa menghubungi pihak bomba untuk menyelamatkan saya. Kereta pula memang rosak teruk dan itulah antara pengalaman hitam yang pernah saya lalui,” katanya.

Namun, semua itu bukanlah pematah semangat buatnya, sebaliknya menjadikan dirinya lebih kuat untuk menempuh pelbagai onak dan duri dalam kehidupan.

“Sabar dan perbanyakkan istighfar. Itulah pegangan saya untuk terus bertahan. Apa yang jadi sekalipun, saya perlu kuat dan sentiasa berfikiran positif,” katanya lagi.

grab kudung 1 – ZAINAL menunjukkan keretanya yang diubah suai dengan modal RM2,500 bagi memudahkannya memandu menggunakan tangan.

grab kudung 2 – PROTON Saga merah yang menjadi sumber rezeki Zainal dan keluarga.

grab kudung 3 – SENTIASA berdikari dan tidak pernah mengharapkan bantuan orang lain.

grab kudung 4 – MENUNJUKKAN cara pemanduan menggunakan kedua-dua belah tangan.

Views:

768
Kongsi :
Previous post Adik kandung Amir jalani pemeriksaan fizikal, mental di hospital
Next post Majikan perlu daftar MyFutureJobs – Perkeso Melaka
Ubah saiz-+=