Majikan perlu daftar MyFutureJobs – Perkeso Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 38 Saat

AYER KEROH 2 Feb. – Masih banyak majikan atau syarikat di negeri ini belum memanfaatkan kemudahan platform MyFutureJobs dalam menawarkan peluang pekerjaan kepada pencari kerja.

Pengarah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Melaka, Abd. Razak Omar berkata, sejak diperkenalkan tahun lalu hanya 1,637 syarikat yang mendaftar sebagai majikan dan menawarkan peluang penempatan semula pekerjaan menerusi platform itu.

Katanya, perkara itu amat merugikan sedangkan MyFutureJobs berfungsi sebagai pusat sehenti yang menawarkan pekerjaan universal dan perkhidmatan pasaran buruh percuma untuk semua pencari kerja termasuk orang kelainan upaya (OKU) dan ibu tunggal yang memerlukan pekerjaan terutama dalam tempoh pandemik COVID-19.

ABD Razak

“Setiap syarikat termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) perlu mendaftar dengan MyFutureJobs yang menawarkan pelbagai manfaat termasuk insentif pengambilan pekerja yang ditawarkan di bawah inisiatif Penjana Kerjaya 2.0 yang ditambah baik kerajaan.

“Bagi syarikat besar kebanyakannya mengetahui dan mendaftar dengan platform ini, manakala sambutan kalangan syarikat kecil masing rendah, mungkin disebabkan kurang pendedahan berkaitan manfaat yang ditawarkan kerajaan.

“Sebagai contoh, melalui inisiatif Penjana Kerjaya 2.0, pekerja bergaji RM1,500 ke atas akan dinaikkan daripada kadar rata RM800 sebulan kepada 40 peratus daripada gaji bulanan terhad kepada insentif maksimum RM4,000 sebulan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Beliau berkata, di bawah platform terbabit 9,583 jawatan kosong di Melaka telah ditawarkan sehingga Disember lalu dan seramai 3,807 individu berdaftar berjaya mendapat kerja.

“Dari jumlah terbabit, 3,275 penempatan pekerjaan ditawarkan buat individu di bawah usia 40 tahun manakala 427 bagi individu atas 40 tahun.

“Manakala 88 individu menjalani program perantis dan 17 OKU turut ditawarkan pekerjaan sejak platform ini diperkenalkan,”katanya.

Untuk rekod, MyFutureJobs adalah strategi PERKESO bagi memperkenalkan sebuah Portal Pekerjaan Negara yang berfungsi sebagai pusat sehenti dan rujukan utama rakyat bagi inisiatif berkaitan pekerjaan termasuk program peningkatan kemahiran dan latihan semula.

Platform yang diperkenalkan sejak Januari 2020 telah merekodkan 664,612 peluang pekerjaan sehingga pertengahan Disember lalu dengan jumlah 417,600 pencari pekerjaan berdaftar dari seluruh negara.

Views:

707
Kongsi :
Previous post Tiada kaki bukan alasan untuk malas berusaha
Next post Polis sedang lengkapkan siasatan kes Amir
Ubah saiz-+=