Polis sedang lengkapkan siasatan kes Amir

Masa Membaca:1 Minit, 4 Saat

AYER KEROH 2 Feb – Polis sedang melengkapkan siasatan berhubung kematian kanak-kanak berusia tujuh tahun yang dipercayai didera ibu kandung dan bapa tirinya dalam kejadian di Taman Krubong Jaya, di sini, petang Jumaat lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Mohd Sukri Kaman berkata, siasatan lanjut sedang dilakukan bagi melengkapkan kertas siasatan sebelum diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata, pihaknya bagaimanapun tidak boleh mendedahkan sebarang hasil soal siasat terhadap kedua-dua suspek yang juga ibu dan bapa tiri mangsa berikutan ia akan mengganggu siasatan.

“Setakat ini kita masih dalam proses lengkapkan siasatan sebelum kita serah kepada Timbalan Pendakwa Raya bagi tuduhan atau sebaliknya.

“Polis juga menunggu laporan kimia spesimen yang diambil pihak hospital semasa bedah siasat bagi mengetahui punca sebenar kematian kanak-kanak itu,” katanya ketika dihubungi di sini.

Sebelum ini, Melaka Hari Ini melaporkan, kanak-kanak itu didakwa lemas di dalam tong air di rumahnya dalam kejadian kira-kira 4 jam petang, namun siasatan awal polis mendapati terdapat kecederaan fizikal pada badan mangsa.

Berikutan itu, polis menahan ibu kandung dan bapa tiri mangsa berusia 32 dan 38 tahun dan direman tujuh hari bagi siasatan lanjut.

Mangsa sebelum ini dibesarkan keluarga angkatnya yang tinggal di Rawang, Selangor sejak arwah masih bayi namun ibu kandungnya mengambilnya semula pada Oktober tahun lalu.

Views:

1769
Kongsi :
Previous post Majikan perlu daftar MyFutureJobs – Perkeso Melaka
Next post Kilang ditutup, 69 pekerja positif COVID-19
Ubah saiz-+=