MSN melaka beri sokongan emosi terhadap atlet

Masa Membaca:1 Minit, 17 Saat

MELAKA 13 Nov. – Majlis Sukan Negeri (MSN) Melaka sentiasa memantau perkembangan semasa atlet negeri di samping memberi sokongan moral menerusi pegawai sukan masing-masing bagi khidmat kaunseling dan nasihat melalui pelbagai medium susulan pembatalan temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Johor 2020 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Pemangku Pengarah MSN Melaka Tan Gek Chu berkata kedua-dua pekara itu memberi kesan kepada emosi para atlet yang telah giat melakukan persiapan sejak sekian lama.

“Atlet kita sudah biasa berlatih, namun pada Mac latihan mereka terpaksa dihentikan sehingga kembali diberi kebenaran untuk berlatih semula pada Julai, jadi tentunya keadaan ini menganggu tumpuan serta memberi kesan kepada emosi dan mental mereka.

“Bagaimanapun, jika kita melihat kepada perspektif lebih positif, jurulatih mempunyai masa lebih panjang bagi pelan perancangan Periodisasi Sukma 2021 dan 2022 untuk temasya akan datang,” katanya kepada Bernama, di sini hari ini.

Tan berkata pembatalan itu sedikit sebanyak menjejaskan program persiapan atlet, namun beliau percaya prestasi atlet kontinjen Melaka tetap berada di landasan terbaik untuk edisi 2022 nanti.

“Kita ada perancangan tersendiri bagi meneruskan program latihan atlet dan MSN Melaka masih menunggu keputusan Jawatankuasa Tertinggi SUKMA, sama ada mereka akan memuktamadkan isu had umur kelayakan untuk bertanding SUKMA 2022.

“Sekiranya had umur bawah 21 tahun dikekalkan maka kita perlu mencari atlet baharu. Jika sebaliknya, atlet yang sedang berlatih kini boleh dikekalkan,” katanya.

Beliau turut berterima kasih kepada kerajaan negeri yang sentiasa prihatin dengan kebajikan atlet-atlet SUKMA selain komited membantu membayar elaun atlet dan juga bagi mereka yang terjejas ekonomi, antara inisiatif lain ialah menyenaraikan nama mereka bagi mendapatkan pekerjaan.

— BERNAMA

Views:

1191
Kongsi :
Previous post Syarikat farmasi Korea Selatan hasilkan 150 juta dos vaksin COVID-19 Rusia
Next post “Tiada perbincangan untuk mengekalkan Zainal”
Ubah saiz-+=