Muat turun aplikasi Peduli Lindungi antara syarat masuk Dumai dari Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 1 Saat

KOTA LAKSAMANA 4 Mei – Mana-mana warganegara Indonesia mahupun warga Malaysia yang ingin memulakan perjalanan ke Dumai, Indonesia bermula Jumaat ini disyaratkan memuat turun aplikasi Peduli Lindungi.

Syarat itu antara yang terpapar di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Kota Laksamana untuk pembeli tiket feri sebelum memulakan perjalanan ke negara itu.

Setiap penumpang diwajibkan memasang dan mendaftar di aplikasi berkenaan yang dikatakan berkonsep sama seperti aplikasi MySejahtera.

Selain itu, penumpang juga perlu diuji negatif COVID-19 menerusi ujian PCR dalam tempoh 48 jam sebelum berangkat menaiki feri di terminal berkenaan.

“Penumpang wajib menunjukkan sijil vaksin lengkap secara fizikal atau digital.

“Jika pemeriksaan suhu badan melebihi 37.5 darjah celsius setelah tiba di Dumai, penumpang harus dikuarantin dengan kos kuarantin ditanggung penumpang,” kata kenyataan yang dipapar di ICQS Kota Laksamana.

Dalam tinjauan Melaka Hari Ini, kaunter feri ke negara itu telah mula beroperasi dengan satu kaunter tiket telah mula dibuka.

Kelihatan beberapa penumpang hadir ke terminal berkenaan bagi mendapatkan tiket feri yang dijadual bermula Jumaat ini (6 Mei).

Keadaan di ICQS Kota Laksamana dilihat tenang tanpa sebarang kesesakan yang berlaku malah ia turut dikawal beberapa kakitangan bertugas termasuk anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2739
Kongsi :
Previous post Hanya dua telco meterai perjanjian perkhidmatan dengan DNB setakat ini
Next post Kes tembak di Bukit Bintang: Polis kesan dua lelaki bantu siasatan
Ubah saiz-+=