MUFC cari formula saat akhir
KELAB Bolasepak Melaka United perlu mencari formula baharu yang ampuh dan berkesan dalam usaha mengubah nasib pasukan sebelum Liga Super menutup tirainya.
Pengurus pasukan, Muhammad Akram Abdullah berkata, memandangkan skuad Hang Tuah masih berada dalam kedudukan bahaya, suatu perubahan perlu dilakukan barisan kejurulatihan dan pemainnya secepat mungkin.
Katanya, kerjasama dan disiplin menjadi antara kunci utama untuk mengelakkan pasukan terjerumus ke zon penyingkiran Liga Super dalam baki dua perlawanan sahaja lagi.
“Tidak dinafikan kita sememangnya kecewa apabila sekadar memperoleh keputusan seri dengan pasukan di tangga tercorot UiTM FC, baru-baru ini, sedangkan kita sepatutnya boleh mengutip tiga mata penuh.
“Apapun, kita tidak boleh menoleh kebelakang lagi dan saya meminta semua pemain memberikan komitmen 100 peratus dan menunjukkan keyakinan bahawa mereka boleh mengubah nasib pasukan dalam baki perlawanan terakhir.
“Saya juga berharap barisan kejurulatihan Melaka United dapat mencari satu formula baharu untuk membolehkan kita mengutip tiga mata dalam baki perlawanan terakhir ini,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Muhammad Akram bagaimanapun optimis kerjasama erat dalam keluarga MUFC mampu membawa pasukan itu memperbaiki kedudukan pada saat akhir bagi terus bersaing dalam saingan liga teratas.
Untuk rekod, setakat 19 perlawanan, MUFC berjaya mengutip 17 mata hasil empat kemenangan, lapan seri dan tujuh kali tewas.
Skuad kendalian Zainal Abidin Hassan itu dijadual menentang Perak TBG FC pada 3 September dan Kedah Darul Aman FC pada 12 September sebelum saingan Liga Super musim 2021 melabuhkan tirai.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.