MUFC sia-siakan peluang jamin tempat di Liga Super

Masa Membaca:1 Minit, 26 Saat

PENGENDALI Kelab Bolasepak Melaka United (MUFC), Zainal Abidin Hassan menyifatkan keputusan seri 1-1 dengan Selangor FC semalam sebagai satu kerugian buat pasukan.

Jelasnya, ia berikutan skuad Hang Tuah sepatutnya sudah boleh menjamin tempat lebih awal di Liga Super musim depan sekiranya memanfaatkan peluang mengutip tiga mata penuh tatkala pasukan lawan terpaksa beraksi dengan 10 pemain.

Namun, tegasnya, kegagalan memanfaatkan beberapa peluang terhidang menyebabkan pasukannya berhemapas pulas mendapatkan gol di saat-saat akhir.

“Ada satu perkara yang buat saya sayang dengan pemain-pemain saya iaitu mereka tidak kenal erti putus asa.

“Mereka akan mendesak terutama apabila ketinggalan dan menambahkan usaha mereka. Bukan sekali, tapi sudah banyak kali kita mendapat gol di saat-saat akhir.

“Tetapi (saya hairan) mengapa perkara sama (kesungguhan) tidak dibawa sejak awal permainan?

“Jadi, itulah ‘mindset’ yang saya nak ubah kepada pemain-pemain dalam baki dua perlawanan terakhir nanti,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.

Dalam aksi di Stadium MBPJ Kelana Jaya itu, MUFC ketinggalan pada minit ke-18 hasil jaringan Hein Htet Aung sebelum berjaya mengikat kedudukan seminit sebelum permainan tamat menerusi Manuel Ott.

Mengulas lanjut, Zainal mengakui kehilangan beberapa tonggak utama akibat kecederaan seperti penyerang import, Giovanne Gomez dan pemain sayap, S Kumaahran nyata menjejaskan rentak pasukan.

Bagaimanapun, beliau tetap memuji usaha yang dilakukan pemain gantian, khususnya pemain-pemain muda yang mula menunjukkan potensi.

“Tidak dinafikan memang ada sedikit kecacatan, tetapi Alhamdulillah pemain-pemain muda Melaka tetap memberikan usaha penuh sepanjang perlawanan.

“Insya-Allah jika mereka diberi lagi peluang bermain dan menunjukkan kesungguhan seperti ini, mereka akan terus meningkat,” katanya lagi.

Selepas ini, MUFC dijadual menentang pasukan di tangga kedua tercorot, Perak TBG FC di Stadium Hang Jebat pada Jumaat (3 September).

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

596
Kongsi :
Previous post Kiosk MyKP perintis kemajuan sosioekonomi nelayan
Next post Polis kemuka permohonan siasat dakwaan dua rakyat Malaysia ditahan Taliban
Ubah saiz-+=