Muhyiddin terima suntikan dos kedua vaksin 17 Mac ini

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

KUALA LUMPUR 25 Feb. – Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengesahkan akan menerima suntikan dos kedua vaksin COVID-19 pada 17 Mac depan.

Menurutnya, selepas menerima suntikan vaksin kedua itu, baharulah beliau akan mendapat sijil selesai menerima suntikan vaksin COVID-19.

“Alhamdulilah hari ini hari kedua selepas semalam saya mendapat suntikan vaksin COVID-19. Semuanya berjalan dengan baik dan saya yakin ini adalah vaksin yang selamat dan berkesan.

“Jadi ramai tanya hari ini bagaimana keadaan saya. Alhamduillah saya sihat, tak ada rasa demam, tak ada rasa luar biasa.

“Makan macam biasa, selera macam biasa, jadi bagi saya vaksin yang saya terima ini agak baik,” katanya ketika berkongsi pengalaman itu di Facebook rasminya pada jam 6.49 petang tadi.

Dalam video berdurasi 2 minit 40 saat itu, Perdana Menteri turut meminta orang ramai supaya segera mendaftar di aplikasi MySejahtera bagi mendapatkan suntikan vaksin COVID-19.

“Saya nak minta sekali lagi kita semua memainkan peranan masing-masing menyokong usaha kerajaan dan negara untuk melandaikan COVID-19 ini.

“Dan insyaAllah ia tercapai dengan cara kita ramai-ramai mendaftar untuk mendapatkan suntikan menerusi aplikasi MySejahtera,” katanya lagi.

Muhyiddin menerima suntikan dos pertama vaksin COVID-19, Pfizer-BioNTech semalam sekali gus menjadi rakyat pertama negara ini yang berbuat demikian.

Penerimaan suntikan pertama bagi Malaysia itu disiarkan secara langsung menerusi pelbagai platform media termasuk di media sosial, bagi membolehkan rakyat mendapat gambaran sebenar dan menyeluruh Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang bermula secara rasmi semalam.

Perdana Menteri menerima suntikan itu di Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Putrajaya di Presint 11, Putrajaya, selepas menyempurnakan Pelancaran Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, dengan fasa pertamanya bermula semalam hingga April ini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

355
Kongsi :
Previous post Vaksin COVID-19 diramal bawa 90 peratus penurunan kes baharu
Next post Pemberian vaksin secara menyeluruh diharap pulihkan ekonomi
Ubah saiz-+=